Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memuji peranan Malaysia dalam membantu menjayakan rundingan gencatan senjata antara Thailand-Kemboja, yang disifatkannya sebagai langkah penting ke arah keamanan serantau.
Menurut Trump, Malaysia memainkan peranan besar di sebalik tabir dalam memudahkan perbincangan antara kedua-dua negara berjiran itu, yang sebelum ini berdepan ketegangan di kawasan sempadan.
“Saya beritahu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau seorang pemimpin yang hebat. Oleh itu, saya rasa wajar untuk datang sendiri ke Malaysia.
“Negara ini telah memainkan peranan yang sangat penting dalam gencatan senjata Thailand-Kemboja,” katanya kepada pemberita di dalam pesawat Air Force One sebelum berlepas dari Washington, lapor Sinar Harian.
Artikel berkaitan: “Sempat menari dengan penari tradisional” – Aksi Spontan Donald Trump Sejurus Mendarat Di KLIA Curi Tumpuan
Artikel berkaitan: Presiden AS, Donald Trump Dijadual Tiba Di Malaysia Esok Untuk Lawatan Rasmi Dua Hari

Trump berkata, keputusannya untuk menjadikan Malaysia antara destinasi lawatan rasmi kali ini adalah tanda pengiktirafan terhadap diplomasi aktif Malaysia dalam menangani isu tersebut.
Beliau dijadual tiba di KLIA pada jam 10 pagi bersama delegasinya dan akan disambut oleh Anwar di Kompleks Bunga Raya dengan sambutan rasmi penuh warna-warni.
Menerusi hantaran di laman Truth Social, Trump turut memaklumkan bahawa beliau akan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian damai bersejarah antara Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, yang berlangsung sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
“Saya bangga menjadi perantara bagi perjanjian damai ini antara Kemboja dan Thailand,” katanya sambil menzahirkan ucapan takziah kepada rakyat Thailand atas kemangkatan Bonda Ratu Sirikit Kitiyakara.

Pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja sepanjang 817 kilometer telah berlarutan selama beberapa dekad, malah sempat mencetuskan ketegangan ketenteraan pada Julai lalu.
Namun, hasil mesyuarat damai yang dianjurkan oleh Anwar di Putrajaya pada 28 Julai, hubungan kedua-dua negara berjaya dipulihkan, sekaligus mengelakkan konflik lebih besar di rantau ini.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) turut menjadi medan penting dalam mengukuhkan keamanan dan kerjasama serantau di bawah kepengerusian Malaysia tahun ini.
Kredit: Sinar Harian
