Memakai pakaian yang bergaya, ada class dan mengikut trend memang menjadi ikutan ramai. Lagi-lagi zaman sekarang ni, banyak fesyen yang cantik-cantik malah, ada juga fesyen yang dicop pelik oleh kebanyakan orang.
Sebenarnya, sejak dari zaman dulu lagi fesyen pelik dan unik ni dah wujud dekat dunia. Oleh itu, min nak cerita pada korang tentang tujuh fesyen dalam sejarah yang pastinya membuatkan korang ‘terpukau’ dengan keganjilannya.
1. Chopine
Boleh dikatakan Chopine ni asal kejadian kasut tumit tinggi yang dipakai golongan wanita ketika ini. Namun, ia bukan sahaja tinggi tumit malah, seluruh tapak kasut ni juga ditinggikan.
Ia dipercayai berasal dari kurun ke-16 hingga ke-17 di mana kasut ni bertujuan untuk bantu wanita di Venice melalui jalan yang berlumpur bagi mengelakkan pakaian dorang jadi kotor.
Akan tetapi, ia bertukar menjadi sebuah fesyen apabila ketinggian kasut ni melambangkan seseorang wanita itu mulia, penting dan juga kaya. Makin tinggi kasut ni, makin tinggilah darjat wanita itu dalam sosial.
Artikel berkaitan: Madammu Kongsi Tips Berfesyen, Elak Pakai Hiasan ‘Pearl’ Dengan ‘Jeans’
2. Skirt Hobble
Hobble berasal daripada istilah ‘hobbling‘ iaitu satu perbuatan yang mengikat kaki haiwan untuk mengelakkannya daripada melarikan diri. Kalau dalam istilah fesyen pula, ia merupakan skirt sempit yang menghalang perempuan untuk berjalan dengan langkah yang besar.
Namun begitu, trend yang menyekat kebebasan wanita ini hanya bertahan sekejap saja dari tahun 1908 hingga 1914 kerana ia menyebabkan ramai wanita mati atas alasan pergerakan yang terhad untuk menyelamatkan diri daripada ancaman bahaya.
3. Crackowes
Kasut ini pula popular dalam kalangan lelaki suatu ketika dahulu di mana design-nya berbentuk panjang dengan hujungnya runcing dan tajam. Ia dipercayai berasal dari Poland di antara abad ke-12 dan abad ke-15.
Dikatakan, lelaki yang memakai kasut ini tampak lebih kaya dan mulia, lebih-lebih lagi bila memakainya dalam pertempuran. Akan tetapi, ia telah diharamkan di England dan Perancis pada 1465 kerana kasut ni menyukarkan kerja seharian seperti berjalan dan melutut untuk berdoa.
4. Gigi hitam
Korang percaya tak, dengan tak jaga kebersihan gigi, korang akan dianggap cantik dan mulia? Inilah yang berlaku di Jepun suatu ketika dahulu di mana objek berwarna hitam dilihat sebagai sesuatu yang cantik. Dipercayai, masyarakat di sana menghitamkan gigi mereka seawal umur 15 tahun bagi melambangkan peralihan ke zaman dewasa.
Di Tudor England pula, trend gigi hitam menjadi fesyen apabila Queen Elizabeth I gemar memakan manisan dan gula. Disebabkan itu, giginya menjadi hitam dan reput kerana penjagaan gigi yang lemah. Akan tetapi, masyarakat menganggap perkara itu sebagai satu lambang kekayaan.
Oleh itu, mereka dengan sengaja biarkan gigi mereka kotor dan hitam tanpa mengamalkan kebersihan gigi. Eeww!
Artikel berkaitan: “Saya fikirkan perasaan mak saya” – Aina Abdul ‘Puasa’ Pakai Fesyen Pelik Lepas Terima Nasihat Ibu
5. Codpiece
Fesyen pelik kali ni khas untuk lelaki di mana codpiece merupakan satu kepingan pakaian yang bertujuan untuk menampakkan zakar seseorang lelaki itu besar. Ia dipercayai mula wujud pada kurun ke-15 dalam masyarakat Eropah.
Pada asalnya, ia bertujuan untuk melindungi alat kelamin lelaki namun, telah bertukar menjadi fesyen apabila ramai yang mula mengikutinya. Ianya juga biasa dikenakan dengan pakaian perisai orang-orang terdahulu.
6. Crinoline
Pakaian ini merupakan skirt gelung yang dipakai bawah kot yang diperbuat daripada bulu kuda, kayu atau keluli. Fesyen yang bermula pada abad ke-19 ni bertujuan untuk menampakkan pinggul wanita menjadi besar.
Seperti skirt Hobble, ia turut membahayakan nyawa pemakainya. Disebabkan saiz skirt ni yang agak luas dan ketegapannya, ia memakan ruang serta menyusahkan wanita untuk melalui tempat-tempat yang sempit sehingga mampu meragut nyawa ketika berada dalam situasi bahaya.
7. Macaroni
Memang nama seakan makanan tapi, ianya merupakan sebuah fesyen gaya rambut yang famous dari pertengahan kurun ke-17. Ia dikenakan dengan rambut palsu yang tinggi dan besar dengan puncaknya dihiasi dengan topi kecil.
Selain tu, ia biasa disepadankan dengan kot pinggang, stoking terang dan kasut mewah yang memukau mata orang yang melihatnya.
Sumber: The Collector, Bustle