Rakyat di negara jiran Indonesia berdepan hukuman denda sehingga Rp 5 juta (kira-kira RM1,440) sekiranya mereka menolak untuk menerima vaksin COVID-19.
Amaran yang dikeluarkan kerajaan Indonesia itu adalah bertujuan untuk memastikan pematuhan terhadap peraturan baru yang mewajibkan vaksinasi terhadap jangkitan virus COVID-19, lapor Harian Metro.
Memetik Kompas.com, Peraturan Presiden (Perpres) itu membabitkan warga Indonesia. Tetapi, bagi penduduk di Jakarta, ada denda tambahan bagi yang menolak vaksin COVID-19.
Wakil Gabenor Jakarta Ahmad Riza Patria berkata, terdapat dua perkara yang boleh berlaku pada mereka yang menolak vaksin.
“Sekiranya enggan divaksin, ada dua perkara yang boleh berlaku iaitu tidak menerima bantuan sosial dan didenda,” katanya.
Peraturan pembatalan pemberian bantuan sosial kepada masyarakat yang menolak vaksin termaktub di Peraturan Presiden (Perpres) Nombor 14 Tahun 2021 pasal 13A dan pasal 13B.
Untuk info, Indonesia setakat ini telah merekodkan sebanyak 1.2 juta jangkitan wabak COVID-19.
Angka kematian pula dilapor mencecah hampir 34,000.
Sumber: Harian Metro, Kompas.com