Kita sering diingatkan untuk sentiasa berhati-hati kalau terlibat dalam apa-apa pelaburan kerana sifat pelaburan itu sendiri ada untung dan ruginya.
Pun begitu, masih ramai yang tertipu dan antara kes scam pelaburan yang paling famous diperkatakan ialah master scam perlaburan emas dari Tok Belagak.
Siapa Tok Belagak?
Mungkin ramai yang dah lupa dengan Tok Belagak atau nama sebenarnya, Hanarudin Baharudin ini, namun menerusi perkongsian Facebook Abdel Rahmanov, Tok Belagak ini katanya mula dikenali ramai menerusi blognya, Darul Saka.
Pada ketika itu, Facebook belum lagi wujud dan blog serta portal forum merupakan antara medium popular di Internet.
Menerusi blog Darul Saka, Tok Belagak memperkenalkan dirinya sebagai perawat Islam yang merawat saka dan sering berselisih pendapat dengan perawat lain seperti Ustaz Datuk Dr. Haron Din dan Ustaz Datuk Ismail Kamus.
Mula promosi Darul Emas Perak Berhad (DEPB)
Tok Belagak kemudian mempromosikan pelaburan emas, Darul Emas Perak Berhad (DEPB) yang mana berjaya memperdaya ramai orang dengan status ‘Berhad’ yang digunakannya seolah-olah ia sebuah syarikat yang besar dan kukuh.
Operasi emas ‘delay’ dari Tok Belagak ini menarik perhatian ramai kerana ia didakwa menjual emas pada harga lebih rendah dari pasaran. Namun emas itu akan diterima lambat atau ‘delay’ antara 1 hingga 12 bulan.
Pelabur pula walau bagaimanapun akan mendapat hibah secara bulanan dan Tok Belagak berjanji akan membeli semula emas pada harga sedikit mahal daripada harga pasaran.
Tok Belagak juga katanya menggunakan tagline,
Kami tidak menjanjikan bulan dan bintang tetapi kami janjikan kejujuran dan amanah.”
Skim pelaburan makin popular hingga ditemuramah Astro AWANI
Disebabkan skim pelaburan emasnya semakin popular dan Tok Belagak juga katanya mempunyai penasihat syariah daripada sebuah IPTA, beliau telah ditemuramah Astro AWANI hingga membuatkan lebih ramai yang percaya dengan skimnya ini.
Semasa temuramah berlangsung, Tok Belagak sempat menyebut,
Scammer ada di mana-mana. Apa sahaja benda boleh buat duit scammer mesti ada. Even gores dan menang pun ada scammer, benda tu scam senang je hendak buat,” katanya dengan confident sekali.
Tok Belagak juga sempat menjelaskan bahawa DEPB kini mempunyai stok emas melebih 3 tan (3,000 kg) dan emas perhiasan pula sebanyak satu setengah tan (1,500 kg).
Tiba-tiba nak pulangkan pelaburan sebab tak patuh syariah?
Pun begitu, episod penipuan Tok Belagak bermula apabila pada Oktober 2014, beliau mengeluarkan kenyataan bahawa skim pelaburan terpaksa dihentikan atas sebab tak mematuhi parameter syariah.
Pihak DEPB katanya akan memulangkan pelaburan yang akan disalurkan melalui ejen-ejen (wakalah) mereka secara berperingkat bermula dari penghujung 2014.
Pelabur-pelabur pada masa ini mula tersedar yang mereka telah tertipu dan berang serta telah menyerang laman sosial Tok Belagak termasuklah page dan group seperti Jom Emas dan lain-lain.
Ada yang bengang sampai mengugut nak buat demonstrasi demi menuntut wang mereka, namun Tok Belagak mengatakan jika mereka berbuat demikian kemungkinan besar wang pelaburan tak dapat dikembalikan kerana campur tangan pihak berkuasa.
Tok Belagak ditahan polis
Akhirnya pada penghujung September 2016, Tok Belagak telah ditahan polis atas sebab menjadi dalang sindiket penipuan pelaburan emas. Dia ditahan selepas menerima laporan daripada individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan sebanyak RM80,900.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan, berkata pengadu mendakwa mengetahui mengenai pelaburan emas itu melalui laman sosial Facebook pada Ogos 2014 dan diperkenalkan kepada syarikat milik suspek oleh seorang ejen.
Namun yang menjadi persoalan, apa yang jadi dengan Tok Belagak sekarang? Sehingga kini dirinya senyap daripada umum dan tidak diketahui keberadaannya.
Oleh itu, kita semua berhati-hatilah daripada menjadi mangsa penipuan skim pelaburan yang tidak pasti asal usulnya. Siasat dulu sebelum labur!
Baca: Dianggarkan Lebih 1,000 Rakyat Malaysia Jadi ‘Scammer’, Paling Muda Umur 14 Tahun