Satu tinjauan mendedahkan golongan berpendapatan tinggi atau lebih sinonim digelar golongan kayangan lebih mudah mempercayai mitos mengenai vaksin COVID-19, lapor Bloomberg.
Tinjauan yang dilakukan COVID States Project iaitu sekumpulan pengkaji dari Northeastern, Harvard, Rutgers dan universiti-universiti Northwestern membabitkan 20,669 penduduk di kesemua 50 negeri di Amerika Syarikat.
Difahamkan, kumpulan pengkaji ini akan meminta responden untuk menilai empat mitos berkenaan vaksin COVID-19 dimana ada yang mengatakan pengambilan vaksin akan menyebabkan ketidaksuburan, mengubah DNA manusia, mempunyai alat pengesan dan diperbuat daripada tisu janin yang digugurkan.
Menerusi tinjauan, pengkaji mendapati, 26% daripada responden yang berpendapatan lebih $100,000 sekurang-kurangnya mempercayai salah satu daripada mitos-mitos berkenaan vaksin yang disenaraikan. Angka terbabit adalah yang paling tinggi berbanding kumpulan responden lain.
Bagi mereka yang berpendapatan kurang daripada $25,000 setahun pula, 22% daripada golongan itu mempercayai satu daripada mitos terbabit. Golongan pertengahan pula adalah diantara 16% dan 19%.
Tidak cukup dengan itu, tinjauan sama juga mendedahkan, satu perempat penyokong Republican mempercai mitos berkaitan vaksin COVID-19 berbanding 18% penyokong parti Demokrat.
Jika dibandingkan mengikut umur pula, hanya 9% mereka daripada golongan warga emas 65 tahun dan ke atas mempercayai mana-mana mitos terbabit. Angka itu diikuti dengan individu berusia 45 tahun hingga 64 tahun seramai 17%. Manakala, 22% golongan berumur 18 tahun hingga 24 tahun percaya dengan mitos yang diperkatakan.
Secara keseluruhan, 20% responden terlibat percaya dengan sekurang-kurangnya satu mitos membabitkan vaksin COVID-19, manakala 51% yang lain pula mengatakan mereka tidak pasti.
Dalam pada itu, tinjauan lain oleh COVID States Project pada Julai lalu mendedahkan individu yang paling banyak bergantung pada Facebook untuk memperolehi maklumat mencatatkan angka penerima vaksin paling rendah berbanding mereka yang mendapatkan maklumat di sumber lain.
Sumber: Bloomberg
Baca: “Tembak direct terus, takde tapis-tapis” – Kali ni Drama Band Buat Lagu Untuk Golongan ‘Kayangan’