Heboh di media sosial tentang kisah seorang lelaki mendakwa dirinya ‘dimadukan’ apabila mendapat tahu dirinya menjadi mangsa penipuan selepas wanita yang dikahwini rupa-rupanya masih merupakan isteri orang.
Kisah itu telah menjadi bualan ramai sehingga timbul rasa kurang senang dalam kalangan umat Islam.
Terbaharu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) yang menyiasat mengenai isu berkenaan menegaskan tiada kes wanita berkahwin dua seperti yang ditularkan.
Menurut Pengarah JHEAIK, Datuk Dr Abd. Ghani Zainuddin, tidak timbul isu wanita berpoligami kerana perkahwinan pertamanya sudah terbubar secara rasmi sebelum berkahwin kali kedua.
“Namun begitu, isu yang menjadi perhatian adalah tindakan wanita tersebut masih tinggal sebumbung dengan bekas suami tanpa ikatan pernikahan yang sah selepas berlakunya perceraian itu,” katanya.
Artikel berkaitan: “Baru beberapa bulan dapat sijil nikah” – Lelaki Terkilan ‘Dimadukan’ Isteri Lepas 4 Bulan Hilang
Artikel berkaitan: “Haram memang menyeronokkan” – Isteri Pasang Dua Suami, Enggan Berpisah Sebab Sayang
Wanita & dua lelaki disiasat tiga kesalahan syariah
Pihaknya kini sedang menjalankan siasatan terhadap wanita berkenaan dan dua lelaki yang dikaitkan membabitkan tiga kesalahan syariah negeri itu.
“Siasatan turut dijalankan ke atas dua lelaki yang dikaitkan dengan wanita berkenaan. Siasatan awal mendapati wanita berkenaan sudah bercerai, namun masih menjalinkan hubungan dengan bekas suaminya itu. Tidak timbul isu kahwin dua dalam hal ini.
“Bagi kes itu wanita berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 25 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2024 (Khalwat),” katanya.
Bukan itu sahaja, wanita itu juga disiasat di bawah Seksyen 7 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 (Menghina atau menyebab dipandang hina dll agama Islam).

Terdahulu, menerusi pendedahan lelaki itu, dia mendirikan rumah tangga dengan wanita yang dikenali menerusi kumpulan peminat kereta Perodua Axia.
Katanya, dia mengambil keputusan untuk berkahwin atas dasar tanggungjawab selepas wanita berkenaan mendakwa dirinya telah hamil.
Pasangan itu kemudiannya bernikah di Thailand namun selepas berkahwin mereka tinggal berasingan.
Perbuatan wanita itu mula terbongkar apabila bayi yang dikatakan anak mereka dimasukkan ke ICU. Apabila disiasat, rupanya wanita berkenaan masih mempunyai suami yang sebelum ini diperkenalkan sebagai abang kandungnya.
Lelaki itu mendakwa isterinya menggunakan dokumen cerai palsu, namun semakan di pejabat agama mendapati status perkahwinan mereka masih sah.
Malah, wanita itu juga dikatakan mempunyai rekod polis kerana aktif melakukan penipuan.
Sumber: Kosmo!
