in

TikTok Shop dan KPDN Perkenalkan Tip #ShopSafe untuk Mencegah Scam Dalam Talian

FT IMAGE LM 9

KUALA LUMPUR, 17 April 2024 – Platform e-dagang yang dipercayai di Malaysia, TikTok Shop, berpadu tenaga dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi meningkatkan kesedaran tentang tip #ShopSafe dalam usaha mencegah scam dalam talian. #ShopSafe merupakan sebahagian daripada inisiatif kesedaran TikTok Shop yang bertujuan memperkasakan rakyat Malaysia melalui pendidikan.

TikTok Shop and KPDN Logo

YB Datuk Armizan bin Mohd Ali, Menteri KPDN, berkata: “Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan TikTok Shop dalam mendidik rakyat Malaysia tentang amalan terbaik ketika membeli-belah secara atas talian, selain memperkasakan mereka dengan pengetahuan dan penggunaan alatan yang tepat untuk #ShopSafe secara digital. Kami mendapati, kebanyakan kes penipuan e-dagang yang dilaporkan berlaku di luar platform e-dagang rasmi, di mana penjenayah siber mengarahkan pengguna untuk menyelesaikan transaksi di luar platform, sama ada melalui nombor telefon, pautan mencurigakan, atau debit langsung. Dedikasi TikTok Shop dalam memperjuangkan hak dan keselamatan pengguna harus dipuji, dan kami berharap untuk terus bekerjasama bagi membanteras penipuan dalam talian secara tuntas.”

Pengarah Kerjasama Strategik, TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz, turut menyuarakan pendapat sama: “Keselamatan adalah keutamaan pertama kami di TikTok Shop. Kami sentiasa melabur dalam tenaga kerja dan teknologi bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati pengalaman membeli-belah dalam talian yang selamat dan bebas kebimbangan, termasuk melalui Polisi Pemulangan dan Bayaran Balik kami yang kukuh. Dalam separuh pertama tahun 2024, kami secara proaktif telah menolak 20.4 juta percubaan penyenaraian produk dan 2 juta pendaftaran akaun penjual di peringkat global yang tidak memenuhi piawaian kami. Membanteras scam dalam talian memerlukan usaha bersama, jadi kami amat menghargai sokongan KPDN dalam mendidik rakyat Malaysia tentang tip #ShopSafe kami. Bersama-sama, kita boleh memastikan komuniti kita sentiasa cakna tentang trend scam baharu serta langkah-langkah perlindungan terhadapnya.”

Tip #ShopSafe yang diperkenalkan oleh TikTok Shop dan KPDN termasuk:

  • Elakkan Pembelian di Luar Platform.
  • Pengguna TikTok Shop harus memastikan semua pembelian dalam talian dilakukan hanya melalui aplikasi rasmi bagi melindungi daripada scam. TikTok Shop menguatkuasakan Garis Panduan Penyenaraian Produk dan Garis Panduan Pendaftaran Penjual dengan ketat bagi mencegah produk dan penjual yang melanggar polisi platform. Polisi seperti Dasar Penyalahgunaan Platform, Dasar Antipemalsuan dan Produk Tiruan dan jaminan keaslian 100% TikTok Shop Mall sentiasa aktif mengesan serta mengurangkan sebarang aktiviti scam dan tingkah laku yang mencurigakan.
  • Pengguna harus memastikan semua transaksi dibuat menerusi pilihan pembayaran dalam aplikasi TikTok Shop yang selamat. Semua pembelian boleh disahkan dan dijejaki dalam sejarah pesanan aplikasi, termasuk transaksi tunai semasa penghantaran (COD).
  • Pengguna tidak patut memuat turun aplikasi TikTok melalui pautan luar atau fail APK. Muat turun aplikasi TikTok hanya melalui laman web rasmi (https://www.tiktok.com) serta platform yang sah seperti Google Play Store dan Apple App Store. Berhati-hati dengan pautan mencurigakan serta laman web yang dieja dengan salah.
  • Berbekalkan tip #ShopSafe, pengguna boleh mengelakkan scam biasa seperti pengiklanan palsu, pancingan data (phishing), scam COD, scam ‘brushing’, perisian hasad (malware), dan banyak lagi.
  • Jangan Kongsi Maklumat Peribadi Sensitif dengan Orang Lain.
  • Pengguna harus membiasakan diri dengan Dasar Privasi TikTok Shop yang menjelaskan cara perlindungan data pengguna.
  • Pengguna perlu berwaspada dan mengelakkan daripada mendedahkan maklumat peribadi sensitif kepada individu lain, terutamanya kepada pihak yang menyamar sebagai kakitangan TikTok Shop, pihak berkuasa atau pegawai kerajaan. TikTok Shop tidak akan meminta maklumat peribadi sensitif pengguna, seperti kata laluan, TAC, atau butiran kad debit/kredit melalui pesanan langsung, panggilan telefon atau e-mel.
  • Sebagai lapisan perlindungan tambahan, pengguna sebaiknya harus mengaktifkan ciri pengesahan 2-langkah pada aplikasi TikTok untuk melindungi akaun mereka walaupun kata laluan akaun mereka terjejas.
  • Dengan tip berguna ini, rakyat Malaysia dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa scam Macau, scam telefon, pengambilalihan akaun, dan sebagainya.
  • Laporkan Tingkah Laku yang Melanggar Peraturan Melalui Aplikasi.
  • Pengguna digalakkan untuk melaporkan produk, kandungan dan penjual yang melanggar peraturan TikTok Shop secara terus melalui saluran laporan dalam aplikasi, yang tersedia di setiap halaman paparan produk.
  • Pengguna juga boleh menghubungi ejen sokongan secara langsung dalam aplikasi untuk sebarang pertanyaan berkaitan pesanan TikTok Shop mereka melalui halaman Pusat Bantuan.
  • TikTok Shop dikawal oleh Polisi Pemulangan dan Bayaran Balik yang kukuh, yang meringkaskan dan menjamin keadilan permintaan selepas jualan untuk pelanggan yang menghadapi masalah dengan pesanan mereka. TikTok Shop tidak bertolak ansur terhadap sebarang aktiviti scam atau perbuatan yang menyalahi undang-undang di platformnya.

ShopSafe Social Asset BM

Untuk maklumat lanjut tentang TikTok Shop Malaysia, sila layari:

@tiktokshop_my