Tiga penjenayah warga Malaysia yang tersenarai sebagai individu paling dikehendaki, sebelum ini diburu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Ops Jack Sparrow, dilaporkan bertindak ganas di Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj (CSMIA), Mumbai, selepas diusir dari United Kingdom (UK).
Menurut laporan New Delhi Television (NDTV), ketiga-tiga suspek mencetuskan kekecohan dan terlibat dalam pergaduhan dengan Pasukan Keselamatan Perindustrian Pusat (CISF) sebaik dihantar semula dari Manchester selepas kemasukan mereka ke UK ditolak pihak imigresen Britain.
Artikel berkaitan: Wanita Dakwa Suami Dit*mbak, Rupanya Kekasih Penjenayah – Polis
Artikel berkaitan: Samun & Perkosa Wanita, Penjenayah Mengadu Sesak Nafas Sebelum M*ti
Difahamkan, suspek sebelum itu melarikan diri dari Malaysia dan transit di Mumbai sebelum cuba memasuki England, namun ditolak kerana dikenal pasti sebagai penjenayah berprofil tinggi.
Ketiga-tiga mereka kini ditahan di bawah pengawasan keselamatan tahap tinggi di sebuah bilik khas di lapangan terbang berkenaan, sementara pasukan khas polis Malaysia dijangka tiba di Mumbai dalam tempoh 48 jam bagi urusan penahanan.
Kes berkenaan mencetuskan persoalan pihak berkuasa India mengenai bagaimana suspek berjaya melepasi kawalan keselamatan antarabangsa, dengan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan penggunaan dokumen palsu atau kecuaian sistem notis merah.
Suspek dikenal pasti sebagai sasaran utama Ops Jack Sparrow, operasi besar-besaran PDRM bagi menumpaskan sindiket jenayah terancang yang terlibat dalam pelbagai kes keganasan, termasuk pembunuhan, pembakaran dan rompakan bersenjata.
Sumber: Harian Metro
