Kisah tragis seorang wanita yang terpaksa menyimpan mayat ibunya di dalam peti sejuk yang terapung setelah rumah mereka di Hatyai dilanda banjir telah mengundang rasa simpati mendalam di media sosial.
Menurut laporan Bangkok Post, insiden memilukan itu berlaku di Kampung The Rich, Tambon Ban Pru, Hatyai.
Seorang anggota penyelamat dari Phuket berkongsi sebuah video pada Selasa yang merakam detik menyayat hati ketika dia menemui wanita berkenaan bersama ‘bebanannya’. Video tersebut turut disertakan kapsyen: “Hati saya remuk kerana kami tiba terlalu lewat. Ibu (wanita) itu lemas.”
Artikel berkaitan: Asia Tenggara Dilanda Gelombang Banjir Dahsyat, Selain Malaysia, Thailand, Indonesia & Vietnam Antara Teruk Terkesan
Artikel berkaitan: “Kaki kejang… jangan tinggalkan ma” – Warga Emas Hanyut Dibawa Arus Deras Ketika Redah Banjir Bersama Anak
Pasukan penyelamat mendapati wanita itu sedang berpaut pada peti sejuk terapung di dalam rumah yang ketika itu hampir ditenggelami air sehingga ke paras bumbung.
Wanita tersebut memaklumkan bahawa air naik terlalu cepat pada waktu malam, menyebabkan ibunya yang berusia 80 tahun tidak mampu bertahan dan akhirnya lemas. Bagi mengelakkan jenazah ibunya dihanyutkan arus deras, dia meletakkan mayat itu di dalam peti sejuk selepas kedalaman air mencecah kira-kira 1.8 meter.
Pasukan penyelamat kemudian tiba di tempat kejadian dan membawa wanita itu serta jenazah ibunya ke kawasan yang lebih selamat.
Difahamkan, wanita tersebut rebah akibat tidak mampu menanggung kejadian ngeri yang dialaminya, manakala video dan laporan mengenai insiden itu terus meraih simpati orang ramai.
Secara keseluruhan, lebih 2.78 juta penduduk di wilayah selatan Thailand terjejas teruk akibat banjir, dengan ratusan ribu kediaman ditenggelami air.
Sumber: Bangkok Post
