Semalam, ribuan penunjuk perasaan memenuhi tengah kota Jakarta, sambil membawa kain rentang dan bertakbir — bagi mendesak penindasan ke atas etnik Uighur di wilayah Xinjiang, China dihentikan segera.
Dalam laporan Associated Press, kesemua penunjuk perasaan berhimpun di hadapan kedutaan China di republik itu dan sempat menunaikan solat Jumaat di perkarangan bangunan sebelum bersurai.
Itu di Indonesia, negara yang didiami paling ramai umat Islam di dunia.
Lain pula kisahnya di Malaysia, apabila The Star melaporkan — kedutaan China di negara ini mempelawa rakyat Malaysia untuk datang ke Xinjiang, bagi melihat sendiri sama ada benar atau tidak semua dakwaan yang dilaporkan pelbagai media sebelum ini.
Pelawaan itu dibuat, susulan terlalu banyak laporan yang keluar di platform media ketika ini — mengenai penindasan yang dilakukan ke atas masyarakat Islam Uighur di sana.
Jurucakap kedutaan, Tang Tang berkata — pihaknya kecewa dengan laporan berat sebelah dan pelbagai lagi bentuk tuduhan yang dilempar ke atas pentadbiran Beijing.
Tambahnya, masalah berkaitan Xinjiang adalah hal ehwal dalaman China dan pihak luar tidak seharusnya mencampuri urusan mereka.
Tegasnya, apa yang berlaku di Xinjiang tiada kena mengena dengan isu pencabulan hak asasi manusia sama sekali mahu pun berkait tentang etnik atau isu agama.
Namun apa yang dunia perlu tekankan adalah usaha China melawan penularan aktiviti keganasan dan kumpulan pemisah.
Usaha itulah yang sedang dilakukan republik tersebut, di kem tahanan etnik Uighur — dalam apa yang disebut mereka sebagai ‘kem pendidikan semula.’
Malah dalam satu laporan yang dikeluarkan portal China, Global Times semalam juga menyebut bahawa — segala dakwaan dan khabar angin mengenai salah laku di wilayah autonomi Xinjiang sengaja dimulakan oleh media Barat.
Dakwa portal itu, tuduhan demi tuduhan yang dilempar terhadap Beijing datang dari sumber kajian yang tidak kukuh yang mendapat sokongan dari kerajaan Amerika Syarikat.
Kata laporan itu lagi, kajian pertama mengenai dakwaan itu dibuat oleh Network of Chinese-Human Rights Defender — iaitu sebuah badan bukan kerajaan yang berpengkalan di Washington DC.
