Heboh di media sosial baru-baru ini berkenaan perbuatan tidak senonoh dan melampau vokalis kumpulan muzik dari United Kingdom (UK), The 1975 yang bertindak mencium pemain bass mereka.
Perbuatan melampau itu dilakukan kumpulan tersebut di sebuah festival yang menyebabkan festival tersebut dibatalkan.
Ada yang mengatakan pihak polis lambat bertindak berkenaan isu itu, namun Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menjelaskan hal sebenarnya.
“Insiden ini berlaku pada 21 Julai pada jam 11.30 malam, kita difahamkan selepas insiden berkenaan konsert terbabit dihentikan dan kumpulan ini berlepas pulang ke United Kingdom (UK) pada jam 5.30 pagi.
Jadi dalam tempoh enam jam sahaja mereka sudah berlepas pulang dan laporan polis pertama yang diterima adalah pada keesokan hari pada jam 2 petang, jadi kita tidak sempat mengambil tindakan kerana mereka sudah berlepas balik,” katanya.
Menurut laporan Berita Harian beliau turut berkata, PDRM akan berurusan dengan pihak berkuasa UK sekiranya ada terdapat proses pendakwaan.
“Kesalahan ini adalah kesalahan yang dilakukan di negara ini, jadi kita tidak boleh memohon notis merah daripada Polis Antarabangsa (Interpol) kecuali membabitkan kesalahan yang besar, kita akan berurusan dengan pihak UK.
Saya yakin selepas ini Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) akan lebih berhati-hati,” katanya.
Selain itu, pihak polis difahamkan sudah mengambil 13 keterangan bagi membantu siasatan berhubung tindakan kumpulan berkenaan.
Baca: “Double standard” – Hamzah Zainudin Persoal Mengapa Vokalis The 1975 Tidak Ditahan Seperti Sanusi