Solat lima waktu merupakan kewajipan buat semua umat Islam tidak kira di mana mereka berada, terbaru seorang pendakwah terkenal dari Amerika Syarikat (AS), Dr Muhammad Salah memuji layanan Malaysia Airlines (MAS) kerana menyediakan ruangan solat dalam penerbangan.
Dalam posting Facebook miliknya, Dr Muhammad Salah berkata, beliau bertanya kepada salah seorang pramugari yang bertugas sama ada dia boleh menunaikan solat di ruang tempat menyediakan makanan.
Namun, beliau terkejut apabila anak kapal berkenaan memberitahu ada ruangan khas yang telah disediakan untuk melakukan ibadah itu, ruangan itu juga siap bertutup agar tidak mengganggu privasi.
“Mereka sebaliknya membawa saya ke ruangan yang khas untuk solat, cukup untuk seorang pada satu masa dengan langsir untuk privasi.
Bukan itu sahaja, mereka juga turut membantu saya dalam mencari kiblat. Saya dapat menunaikan solat dengan tenang, berdiri betul dan menghadap kiblat,” tulisnya.
Dr Muhammad Salah yang terkenal sebagai ikon Huda Satellite TV serta mempunyai 1.3 juta pengikut di Facebook itu berkata, kemudahan yang diberikan membolehkannya menunaikan tanggungjawab dengan tenang.
Sebagai info, Dr Muhammad Salah berkunjung ke Malaysia untuk beberapa acara yang diadakan di Shah Alam, bersama Mufti Menk serta Sheikh Waeel Ibrahim.
Baca: Kucing Panjat Badan Ketika Solat, Imam Tarawih Ini Dipuji Kerana Tetap Tenang