Tentera Udara Korea Selatan menggantung tugas dua juruterbang selama setahun selepas insiden pengeboman tersasar yang mencederakan puluhan penduduk di sebuah perkampungan awam awal bulan ini. Keputusan itu diumumkan pada Jumaat susulan siasatan awal yang mendapati kesilapan dalam memasukkan koordinat sasaran menjadi punca utama kejadian.
Memetik laporan Astro Awani, insiden itu berlaku pada 6 Mac apabila dua buah jet pejuang KF-16 menjatuhkan lapan bom MK-82 di luar kawasan latihan di Pocheon, kira-kira 40 kilometer di utara Seoul. Letupan itu menyebabkan 52 orang cedera, termasuk 38 orang awam.
Tentera Udara mendakwa kedua-dua juruterbang tersebut atas tuduhan kecuaian yang mengakibatkan kecederaan orang awam dan sedang menjalankan semakan kelayakan mereka. Hukuman penggantungan tugas itu dibuat sementara siasatan lanjut dijalankan oleh Kementerian Pertahanan, dengan kemungkinan tindakan disiplin tambahan selepas laporan penuh dikeluarkan.
Selain itu, dua komander unit turut dipecat kerana gagal memberikan arahan jelas kepada anggota bawahan, menunjukkan kegagalan dalam prosedur kawalan dan latihan ketenteraan. Pihak Tentera Udara Korea Selatan juga menegaskan bahawa langkah-langkah tambahan akan diambil bagi memastikan insiden serupa tidak berulang pada masa hadapan.
Baca: Nahas Jeju Air Mungkin Berpunca Dari ‘Bird strike’, Penyiasat Temui Bulu Burung Dalam Enjin Pesawat