Rumah tangga yang dibina 17 tahun lamanya akhirnya terlerai apabila komposer terkemuka, Sharon Paul mendedahkan yang dia sudah bercerai talak satu dengan pelakon, Rusdi Ramli pada Januari tahun lalu.
Menurut mStar, Sharon, 48, berkata, dia memfailkan perceraian terhadap Rusdi selepas tiada jalan penyelesaian yang membabitkan kedua-dua belah pihak.
Saya sudah bercerai sejak Januari tahun lalu. Saya sendiri yang uruskan proses perceraian itu dengan melantik peguam dan selesaikan semuanya.
“Kalau tunggu dia, memang tidak akan selesai apa-apa,” kata Sharon.
Artikel berkaitan: “Saya terkejut bila dapat tahu” – Norlia Tak Tahu Rumah Tangga Rusdi Ramli & Sharon Sedang Bergolak
Terpaksa hadap ‘cold violence’
Menurut komposer ini lagi, dia menyifatkan tahun lepas merupakan tahun yang mencabar, namun bersyukur berjaya harungi dugaan yang dihadapi.
Tahun lepas memang sangat mencabar. Saya terpaksa uruskan pinjaman hartanah yang bukan atas nama saya, bayar bil, tanggung dua anak dan pada masa sama jalankan perniagaan sendiri.
“Tahun ini saya anggap sebagai tahun pemulihan. Kadang-kadang kita perlu jatuh dulu sebelum boleh bangkit semula.
“Saya gembira dan rasa bebas sekarang. Ada satu istilah mengenai perkara yang saya terpaksa hadap selama ini iaitu ‘cold violence’,” katanya.
Mengenai penjagaan dua anaknya, Sharon memberitahu yang mereka memilih untuk tinggal bersamanya.
Anak-anak pilih untuk tinggal bersama saya. Tak ada gunanya minta nafkah, hanya membazir duit untuk bayar peguam.
“Mereka boleh saja tinggal dengan Rusdi, tapi mereka lebih selesa duduk dengan saya,” katanya.
Terdahulu, tular ura-ura mengatakan rumah tangga Sharon dan Rusdi bagai retak menanti belah. Malah Sharon juga pernah mengakui dia bertahan dengan Rusdi hanya kerana anak-anak.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 2008 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Reo Ridza, 16 dan Ryan Ridza, 13.
Kita doakan yang baik-baik buat Sharon dan Rusdi ya.
Sumber: mStar