Penantian keluarga mangsa berkenaan kes bunuh melibatkan anak mereka, Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia pada 1 Jun 2017 lepas akhirnya terjawab.
Menurut Astro AWANI, seramai 18 orang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didapati bersalah atas pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan mangsa.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah yang membacakan keputusan itu hari ini (Selasa) berkata, 6 tertuduh didapati bersalah di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan bersuhabat membunuh arwah.
Manakala 12 orang lain didapati bersalah di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan kerana mencederakan Zulfarhan.
Terdahulu, 5 tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.
Mereka semua didakwa melakukan perbuatan berkenaan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi hingga 5.45 pagi, 22 Mei 2017.
Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017
Ketua Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi KL merumuskan punca kematian disebabkan jangkitan kuman di dada & luka lecur utama 'sequela' pic.twitter.com/k9ac8jP7F5
— BERNAMA (@bernamadotcom) November 2, 2021
Zulfarhan Osman kemudian dilaporkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
Ketika ini mahkamah sedang berehat sebentar dan Hakim akan mengumumkan hukuman yang dikenakan kepada semua tertuduh selepas mahkamah bersidang semula.
Akhirnya keadilan ditegakkan. Semoga keluarga Zulfarhan terus kuat menghadapi semua ini. Al fatihah buat mangsa.
Baca: “Seseorang menyuruh saya menumbuk arwah” – Saksi Pembelaan ‘Buka Mulut’ Masa Insiden Arwah Zulfarhan