Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi telah membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy daripada pertuduhan meminda laporan audit syarikat 1MDB bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes berkenaan, lapor Utusan Online.
Mahkamah Tinggi KL hari ini membebaskan Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung kes meminda laporan audit 1MDB.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, menyampaikan keputusan itu. pic.twitter.com/RTZZEXnjaf
— BERNAMA TV ?? (@BernamaTV) March 3, 2023
Arul Kanda juga diputuskan mahkamah untuk layak mendapat sijil indemniti yang menghalangnya daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang.
Terdahulu, Najib dan Arul Kanda telah didakwa buat kali pertama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 12 Disember 2018. Pada 14 Mac 2019, kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.
Mengikut pertuduhan pindaan, Najib yang pada ketika itu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada dikenakan sebarang tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya dalam operasi syarikat 1MDB.
Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas Presiden UMNO itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Baca: “Propaganda politik” – Najib Razak Nafi Akan Dibebaskan Serta-merta Jika BN Menang PRU 15