Baru sebentar tadi, Datuk Mohammad Mat Yusop mengesahkan remaja Nora Anne Quoirin hidup selama seminggu di dalam hutan semasa pasukan SAR galak menjalankan pencarian sebelum dia meninggal kerana kebocoran usus dan kebuluran.
Menurut Daily Mail, laporan autopsi, tiada tanda serangan fizikal atau seksual di tubuh badan remaja berusia 15 tahun ini. Ia sekaligus, memadamkan spekulasi Nora diculik dan dibunuh sebelum mayatnya dibuang di Gunung Berembun.

Mayat Nora yang hilang pada 4 Ogos lalu semasa bercuti bersama keluarganya ini ditemui dalam keadaan bogel di air terjun hanya 2km dari resort penginapannya, The Dusun.
Mayat Nora kemudiannya di bawa ke Hospital Seremban di mana pasukan patologi menjalankan autopsi selama hampir 12 jam semalam.

Menurut Mohammad, kebocoran usus yang ditemui ini mungkin disebabkan oleh tekanan kerana lapar dan Nora dikatakan meninggal dua ke tiga hari sebelum jasadnya ditemui.
Selain itu, selaput dara remaja ini masih utuh dan selain kesan calar pada kakinya, tiada tanda keganasan lain dapat ditemui.
Ujian lanjut akan dijalankan di makmal untuk menganalisis kimia pada badan Nora.
Ibu bapa Nora telah diberitahu tentang keputusan bedah siasat ini pagi tadi.
Baca: [TERKINI] Keputusan Bedah Siasat Punca Kematian Nora Anne Quoirin Dijangka Pukul 2 Petang Hari Ini