Seorang wanita warga New Zealand berusia 52 tahun berdepan detik cemas apabila terjatuh dari ketinggian enam meter di kawasan air terjun Rimba Kanching, dekat sini, pagi Sabtu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11.50 pagi ketika mangsa dipercayai sedang berada di kawasan berbatu berhampiran air terjun tersebut sebelum tergelincir lalu jatuh ke bawah.
Menurut laporan Astro Awani, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.52 pagi dan segera menggerakkan bantuan ke lokasi.
Seramai lapan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang dikejarkan ke lokasi dan tiba kira-kira 18 minit kemudian.
Setibanya di lokasi, kami dapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri, tangan kiri serta tulang belakang. Bagaimanapun, mangsa masih berada dalam keadaan sedar”
Pasukan bomba bersama agensi penyelamat lain mengambil masa lebih dua jam untuk membawa mangsa keluar dari kawasan air terjun sebelum dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.
Difahamkan, kawasan air terjun Rimba Kanching sememangnya popular dalam kalangan pelancong luar dan penduduk tempatan, terutamanya pada hujung minggu.
JBPM turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika menjalankan aktiviti rekreasi di kawasan air terjun, terutama di lokasi yang licin dan berbatu.
Baca: Pelajar Lembam Hilang Sejak Jumaat Ditemukan Lemas Selepas Keluar Mandi Bersama Rakan