Pelakon Datin Seri Zizie Izette meluahkan rasa terharu selepas menerima sepucuk surat takziah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan pemergian suaminya, Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.
Menerusi hantaran di IGStory, Zizie memuat naik gambar surat rasmi yang ditandatangani sendiri Perdana Menteri bagi pihak Ahli-Ahli Jemaah Menteri, sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarham.
Artikel berkaitan: “Itu bukan kandungan yang dimuat naik oleh saya” – Datin Seri Zizie Izette Hanya Ada Satu Akaun Instagram
Artikel berkaitan: Zizie Izette Tak Mampu Tahan Sebak Ketika Tatap Suami Buat Kali Terakhir
Dalam surat tersebut, Anwar menyampaikan ucapan takziah kepada Zizie dan seluruh ahli keluarga, sambil mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa pemergian Bung Moktar merupakan kehilangan besar buat negara, memandangkan jasa serta baktinya dalam arena politik dan pembangunan negara sentiasa diiktiraf dan dikenang.
Beliau bersama barisan Jemaah Menteri juga mendoakan agar Zizie sekeluarga terus diberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam melalui detik sukar itu.
Di ruangan kapsyen Instagram Story, Zizie menzahirkan penghargaan atas keprihatinan tersebut yang disifatkannya sebagai sangat menyentuh hati.
“Kata-kata anda benar-benar menenangkan hati saya dan mengingatkan kami bahawa kami tidak keseorangan dalam melalui kedukaan ini. Terima kasih kerana mengingati arwah dan kerana sentiasa mendoakan kami,” tulisnya.
Beliau turut menambah bahawa sokongan dan perhatian yang diterima daripada pelbagai pihak, termasuk kepimpinan negara, sedikit sebanyak membantu menguatkan dirinya serta keluarga dalam menghadapi kehilangan yang sangat besar ini.
Sumber: Instagram
