Tiga lelaki yang dipercayai menembak mati seorang rakan ketika aktiviti memburu di Batu Caves, Selangor, sanggup membawa pulang serta meninggalkan mayat mangsa di Kampung Selamat, Semanggol, awal pagi semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian menerima panggilan orang awam pada jam 3.55 pagi mengenai penemuan seorang lelaki berusia 43 tahun yang sudah tidak bernyawa.
Artikel berkaitan: 2 Cedera Manakala Seorang Lagi Maut Dalam Kes Tembak*n di Sebuah Restoran Di Brickfields Malam Tadi
Artikel berkaitan: PMX Minta Penjelasan Putin Tentang Laporan Rusia Bertanggungjawab Tembak Jatuh MH17
“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat tiga kesan tembakan di bahagian belakang badan mangsa. Bedah siasat dijadualkan dilakukan di Hospital Taiping esok,” katanya.
Dalam laporan Harian Metro, belikau berkata polis menahan dua lelaki berusia 32 dan 33 tahun di Kampung Selamat pada jam 12.30 tengah hari semalam, dengan seorang daripadanya merupakan saudara mangsa. Seorang lagi suspek berusia 36 tahun turut diberkas di Batu Caves pada jam 8.30 malam hari sama.

Siasatan mendapati kejadian berlaku kerana mangsa disangkakan haiwan buruan semasa mereka berburu kira-kira 8 malam Ahad lepas.
“Selepas kejadian, mereka sepakat membawa mangsa ke Semanggol menggunakan sebuah kenderaan dengan diiringi dua kenderaan lain. Mangsa ditinggalkan di tepi jalan tidak berturap untuk mencipta cerita lain daripada kejadian sebenar,” katanya.
Noor Hisam berkata, polis merampas sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire, Mazda dan Toyota Hilux, dua laras senapang buatan sendiri, 11 butir peluru 12 Bore serta empat telefon bimbit.
“Tiga suspek itu direman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis giat mengesan seorang lagi suspek dipercayai turut terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Hisam berkata, orang ramai mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kerian ASP Ambri Mat Nayan menerusi talian 012-5306567 atau IPD Kerian 05-7215222.
Sumber: Harian Metro