Beberapa hari lepas, tular kisah seorang penghantar makanan wanita FoodPanda, Nur Athirah Abdul Latiff yang kehilangan motosikal ketika membuat penghantaran makanan di sebuah pasar raya di Batu Caves.
Lebih memilukan, motosikal yang dicuri dikhabarkan baru sahaja dibeli oleh gadis itu beberapa bulan lalu, dan merupakan sumber pendapatannya untuk menyara diri dan keluarga.
Simpati dengan nasib yang dihadapi oleh penghantar makana wanita ini, DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan untuk menyampaikan sumbangan peribadi berupa sebuah motosikal kepada Nur Athirah.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik oleh Selangor Royal Office di Facebook, Tengku Permaisuri Norashikin berasa amat sedih dan terharu apabila membaca berita yang tular mengenai Nur Athirah.
Sumbangan berupa motosikal itu disampaikan oleh Juruiring Polis (ADC) kepada DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Inspektor Noor Hidayu Aziz pada 6 November lalu. Baginda juga berharap sumbangan ini dapat membantu Nur Athirah untuk meneruskan kerja-kerja harian, seterusnya dapat membantu keluarganya.
Titah Baginda lagi, di waktu kita semua sedang diuji dengan pelbagai dugaan ketika ini, Baginda amat berharap agar masyarakat di luar sana lebih bersifat perikemanusiaan dan bertimbang rasa di antara satu sama lain. Baginda turut mendoakan agar sekalian rakyat terus dimurahkan rezeki dan sentiasa di dalam perlindungan Allah S.W.T.
Untuk rekod, motosikal Yamaha 135LC dengan nombor plat BQF2182 milik Nur Athirah hilang pada jam 1.30 petang di sebuah pasar raya Batu Caves ketika dia sedang mengambil makanan yang dipesan.
Sumber: Selangor Royal Office
BACA: Post Gambar Motor Hilang, Warga Twitter Bersatu Bagi Sumbangan Belikan Motor Baru