Sepanjang sejarah, wanita Muslim telah memainkan peranan yang sangat penting lebih-lebih lagi ketika zaman Rasulullah SAW dan kalifah-kalifah lain yang mengikut jejak baginda.
Salah seorang wanita tersebut merupakan Aisyah RA. Beliau telah mendapat penghormatan dari berjuta-juta umat Islam sebagai isteri Rasulullah SAW serta memainkan peranan penting dalam sejarah awal Islam ketika baginda masih hidup serta selepas kewafatan Rasulullah.
Malah, Aisyah RA merupakan ulama Islam yang disegani dan banyak memberi sumbangan terhadap ajaran Islam. Beliau juga sering dirujuk oleh para sahabat Rasulullah selepas kewafatan baginda.
Artikel berkaitan: Sumayyah: Kisah Pengorbanan Wanita Terhebat & Orang Islam Pertama Mati Syahid
Artikel berkaitan: Ini Perbezaan Antara Abu Lahab & Abu Jahal, Korang Jangan ‘Confuse’ Pulak!
Jadi dekat bawah ni adalah beberapa perkara yang korang patut tentang Saidatina Aisyah RA.
1. Paling rapat dengan Nabi Muhammad SAW
Aisyah RA merupakan antara orang yang paling rapat dengan Rasulullah SAW dan telah bersama dengan baginda sehingga hari kewafatannya. Beliau dikenali sebagai wanita yang kuat dan sebagai seorang hamba Allah yang taat, Aisyah banyak diriwayatkan dalam buku sejarah sebagai seorang yang mempunyai kebijaksanaan yang tinggi, bertakwa dan mempunyai keindahan yang luar biasa.
Saidatina Aisyah telah hidup selama sepuluh tahun bersama Rasulullah SAW dan selama tempoh tersebut, beliau telah belajar tentang Islam secara terus dari Rasulullah SAW.
Kebanyakan perkara yang kita belajar mengenai perihal Rasulullah SAW hari ini adalah diriwayatkan sendiri oleh Aisyah RA.
Aisyah RA bukan sahaja mengetahui tentang sunnah-sunnah Rasulullah, malah beliau turut menghafal Al-Quran dan memahaminya serta mengikut ajarannya.
Perkahwinan Aisyah dan Rasulullah SAW penuh dengan kasih sayang dan belas kasihan antara satu sama lain. Malah banyak hadis yang menceritakan tentang kasih sayang di antara Rasulullah SAW dan Aisyah RA. Nabi Muhammad SAW merupakan seorang yang sangat lembut terutamanya terhadap isteri-isteri dan anak-anaknya.
2. Ulama Islam yang dihormati
Saidatina Aisyah RA mempunyai banyak kelebihan dan salah satunya, merupakan ingatan ieditik. Beliau masih muda ketika berkahwin dengan Rasulullah SAW dan kerana itu, beliau boleh menerima ilmu dengan lebih baik. Kelebihan ini menjadikan Aisyah RA sebagai pengajar dan penyampai ilmu Islam dan kepandaiannya dikenali oleh lelaki dan wanita pada zaman itu.
Malah, menurut satu buku yang diriwayatkan oleh Al-Imam Ibn Hajar Al-Asqalani, jika ilmu Aisyah RA ditempatkan di sebelah dacing dan ilmu semua wanita lain di sebelahnya, ilmu Aisyah akan melebihi yang lain. Salah seorang sahabat, Abu Musa RA berkata:
Bila terdapat apa-apa hadis yang sukar untuk kami (para sahabat) untuk memakami, kami akan bertanya kepada Aisyah, beliau sentiasa mengetahui tentang hadis tersebut.”
Saidatina Aisyah RA telah meriwayatkan banyak hadis sehingga ulama-ulama mengatakan bahawa dua per tiga dari Syariah Islam adalah berdasarkan tafsiran dari beliau. Aisyah RA juga merupakan sebahagian daripada kumpulan sahabat, yang diketahui paling banyak meriwayatkan Nabi SAW bersama Abu Hurairah, Abdullah Ibn Abbas dan Abdullah Ibn Umar r.a. dan memahami selok-belok ketetapan dalam akidah kerana kepintarannya dan penguasaan fiqh.
Memandangkan peranan tinggi yang dimainkan oleh Aisyah RA dalam penyampaian ilmu, ternyata wanita, kebolehan dan kepintaran mereka sentiasa diakui dalam Islam sejak zaman Rasulullah SAW.
3. Guru yang berpengetahuan tinggi
Musa Ibn Talha seperti yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi berkata:
Saya tak pernah melihat orang yang lebih fasih berbanding Aisyah.”
Ajaran Islam yang dipelajari dari Rasulullah SAW dan ingatan yang kuat telah disampaikan kepada anak-anak murid Aisyah dengan fasih. Ulama berseru untuk mendengar ceramah-ceramah Aisyah pada zaman tersebut di mana di tempat-tempat lain, wanita dianggap tidak perlu untuk menyumbang kepada dunia luar.
Saidatina Aisyah RA juga sangat pemurah dengan ilmunya dan sentiasa memberikan ceramah dengan fasih serta menjawab soalan-soalan sukar dan mengeluarkan fatwa. Beliau telah mendedikasikan hidupnya dengan mengajar orang lain tentang Islam.
Saidatina Aisyah RA juga turut menjelaskan perkara-perkara yang berkaitan dengan wasiat dan sangat berkait rapat dengan matematik dan pengiraan. Beliau juga turut berpengetahuan tinggi dalam perubatan, puisi dan sejarah.
4. Mengangkat hak wanita
Pemahaman luas Aisyah dalam pelbagai disiplin ilmu dan sumbangan yang luar biasa terhadap masyarakat telah menunjukkan kedudukan sebenar wanita, semasa era wanita dilihat sebagai rendah diri dan tidak layak mempunyai status yang sama dengan lelaki.
Aisyah sangat gemar belajar dan telah digalakkan oleh Rasulullah SAW untuk berbuat demikian. Beliau juga turut memuji wanita-wanita Ansar kerana gemar bertanya soalan walaupun malu. Perasaan malu mereka tidak menjadi penghalang untuk mereka belajar dan mencari kebenaran serta pengetahuan.
Aisyah RA merupakan contoh ajaran Rasulullah SAW yang mulia. Ilmu yang diperolehi oleh Aisyah sangat dituntut malah dari sahabat-sahabat Rasulullah SAW. Ini menunjukkan bahawa lelaki dan wanita boleh belajar antara satu sama lain.
Sejak abad ke-7 iaitu lebih 1200 tahun yang lalu, Nabi Muhammad SAW telah mengangkat hak wanita. Islam telah memberikan hak kepada wanita walaupun ia tak diberikan kepada wanita-wanita lain di seluruh dunia. Wanita pada ketika itu tak perlu berjuang untuk hak mereka kerana ia diberikan oleh Rasulullah SAW.
Ketika abad ke-7, wanita Islam juga diberi hak mengundi pada zaman khalifah Sayyidina Umar apabila tidak ada budaya lain dari seluruh dunia yang memberikan hak yang sama kepada wanita.
Sumber: muslim.sg