Kerajaan Kelantan muncul sebagai negeri pertama menggubal undang-undang yang mewajibkan anak memberikan nafkah kepada ibu bapa.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, langkah tersebut selaras dengan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Keluarga Islam 2025 yang diluluskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 12 November lalu.
Artikel berkaitan: Bekas Suami Kena Bayar RM1.3K Untuk ‘Nafkah’ 2 Ekor Kucing
Artikel berkaitan: Simpanan Akan Disita Jika Bekas Suami Culas Bayar Nafkah – Menteri Agama
Beliau menjelaskan bahawa Kelantan mengambil pendekatan lebih proaktif bagi menangani isu pengabaian warga emas serta memperkukuh tanggungjawab anak dan waris terhadap ibu bapa.
“Melalui peruntukan ini selepas ia diwartakan, mahkamah boleh memerintahkan anak atau cucu membayar nafkah kepada ibu, bapa, datuk, nenek, moyang dan seterusnya.
Sekarang ini dalam proses warta dan sebaik ia diwartakan, undang-undang ini akan dikuatkuasakan,” katanya.
RUU Keluarga Islam 2025 merangkumi 11 bahagian, 178 seksyen dan enam jadual yang meliputi pelbagai aspek hukum kekeluargaan Islam, termasuk perlindungan golongan rentan dan pengukuhan struktur tanggungjawab keluarga.
Sebelum ini terdapat kenyataan pindaan undang-undang berkaitan nafkah ibu bapa dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac tahun depan bagi memastikan kewajipan menanggung ibu bapa uzur dapat dilaksanakan secara berkesan menjelang Malaysia mencapai status negara tua pada 2030.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut menyatakan bahawa advokasi mengenai perkara itu akan diteruskan sementara menunggu pindaan terhadap undang-undang Mahkamah Syariah dan Undang-Undang Keluarga Islam dimuktamadkan.
Dalam pada itu, Mohd Asri menyifatkan langkah Kelantan sebagai tindakan awal yang lebih komprehensif untuk memperkukuh institusi keluarga.
Sumber: Harian Metro
