Semalam, negara kita dikejutkan dengan berita kejadian tanah runtuh yang berlaku di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, Hulu Selangor. Setakat ini, 21 nyawa disahkan terkorban, manakala 12 lagi masih hilang.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Hisamuddin Termidi, punca kejadian yang berlaku pada awal pagi Jumaat itu dipercayai kerana kaki cerun lemah akibat aliran air bawah tanah.
“Berdasarkan pemerhatian awal kami, punca kejadian tanah runtuh ini disebabkan terdapat aliran ataupun alur air di bawah yang telah menyebabkan kaki cerun lemah.
Keadaan ini sekali gus menyebabkan (tanah) di atas turun dan bahan homogen (tidak dapat bertahan) jatuh sekali,” katanya
Beliau turut mendedahkan saiz tanah runtuh berkenaan adalah lebih kurang 500 meter panjang, 200 meter lebar dengan kedalaman lapan meter.
Warga Singapura turut jadi mangsa
Dalam pada itu, Kementerian Luar Negeri melaporkan daripada 61 mangsa yang terselamat dalam tragedi itu, tiga daripadanya merupakan warganegara jiran, Singapura.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan Wisma Putra, kerajaan Malaysia sedang berusaha sehabis baik untuk memastikan mereka yang terkesan dengan tragedi itu diberi bantuan segera.
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong sempat mengucapkan takziah dan bersimpati dengan tragedi terbabit. Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap kerajaan negara ini yang turut membantu rakyat mereka yang terkesan.
“Pasukan Pertahanan Awam Singapura bersedia untuk membantu usaha mencari dan menyelamat jika perlu,” katanya.
Sumber: Sinar Harian, Astro Awani
Baca: Tragedi Tanah Runtuh Batang Kali: Rupanya Syarikat Kendali Tapak Khemah Tiada Lesen