Baru-baru ini, seorang bapa telah menyentuh hati warganet selepas berkongsi kisah sedihnya apabila dia terpaksa menghabiskan makanan yang dimasak oleh anak perempuannya.
Menurut Mothershipsg, individu tersebut terpaksa menghabiskan lima pau daging yang disediakan oleh anaknya di sebuah stesen Terminal Larkin, Johor Bahru.
Takut dirampas kastam Singapura
“Anak perempuan saya bimbang saya tiada makanan untuk dimakan sewaktu pergi ke Singapura. Jadi, dia sediakan roti kukus berintikan daging agar saya dapat mengisi perut.”
“Sebagai seorang ayah, saya tidak sampai hati untuk memberitahu kepadanya bahawa Singapura tidak membenarkan roti kukus (dengan isi daging) dibawa masuk ke negara ini.”
“Saya hanya mampu menghabiskan roti itu di Larkin interchange seorang diri. Apabila saya buka bekas makanan, ada lima roti kukus. Saya menghabiskannya dalam tempoh satu jam setengah,” tulisnya.
Si ayah kemudian memberitahu, dia tidak sanggup untuk membiarkan makanan itu begitu sahaja. Bapa kepada remaja perempuan berusia 14 tahun itu berharap agar anaknya dapat menyediakan roti kukus untuknya dalam jumlah yang lebih sedikit.
Susulan kejadian itu, perkara tersebut telah menyentuh hati netizen selepas dia memuat naik sebuah hantaran di laman sosial Facebook.
Menurut Mothershipsg, lelaki berkenaan bekerja sebagai ketua bas di SBS Transit dan dia telah berkhidmat selama lapan tahun di situ.
Jarang berjumpa dengan keluarga
Oleh kerana lokasi pekerjaan yang jauh, dia hanya bertemu dengan keluarganya satu atau dua bulan sekali di Negeri Sembilan.
Sehubungan itu, dia berasa berat hati sebelum berangkat ke Singapura dan meninggalkan keluarganya.
Dia hanya akan pulang ke rumah dengan menaiki bas jika bekerja pada syif pagi. Pun begitu, lelaki ini tidak pulang jika bekerja syif malam kerana akan lewat tiba di rumah sekitar jam 1 atau 2 pagi.
Tak boleh bawa masuk produk daging ke Singapura?
Menurut sebuah portal Agensi Makanan Singapura, setiap individu cuma dibenarkan membawa 5kg daging untuk kegunaan peribadi dan dari sumber yang diluluskan. Walaubagaimanapun, produk daging dari Malaysia masih belum menerima kelulusan oleh Singapura.
Pengorbanan seorang ayah memang menyentuh hati…