Mulai esok, permohonan untuk melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), akan dibuka sehingga 31 Mac ini.
Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, peminjam yang layak boleh berbuat demikian melalui portal rasmi PTPTN di http://www.ptptn.gov.my/PelanjutanBayaranBalikCovid19
Tiada sebarang dokumen sokongan diperlukan semasa permohonan.
Katanya, golongan yang layak untuk mendapatkan lanjutan ini adalah peminjam yang kehilangan pendapatan akibat diberhentikan kerja dan mereka yang dikurangkan pendapatan, lapor Sinar Harian
“Pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN untuk tempoh tiga bulan akan bermula pada bulan yang sama dengan kelulusan permohonan yang diberikan PTPTN dan dua bulan ke hadapan di antara Januari hingga Mei 2021,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata lagi, kelulusan penangguhan akan dimaklumkan kepada peminjam melalui e-mel yang dikemukakan dalam tempoh tiga hari bekerja, dari tarikh peminjam mengemukakan permohonan.
Malah, peminjam juga diingatkan supaya mengemaskini maklumat perhubungan yang tepat dan terkini, bagi memastikan maklumat berkenaan kelulusan permohonan pelanjutan dapat disampaikan kepada mereka.
“Mereka yang tidak terkesan boleh meneruskan pembayaran balik pinjaman melalui saluran yang disediakan, PTPTN mengucapkan terima kasih serta merakamkan penghargaan kepada semua peminjam yang membuat bayaran balik pinjaman demi kelangsungan pembiayaan PTPTN kepada pelajar lain pada masa akan datang,” katanya.
Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, peminjam boleh menghubungi ‘Careline’ PTPTN melalui talian di 03-21933000, yang beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat, bermula 9.00 pagi hingga 5.00 petang, atau melayari portal rasmi www.ptptn.gov.my di ruangan ‘Soalan Lazim’.
Baca : “Bayaran balik PTPTN ditangguh 3 bulan lagi” – Menteri Pengajian Tinggi