in

“Tak nampak, tapi ia wujud” – Seniman Itali Jual Arca ‘Halimunan’ Bernilai Lebih RM85,000

arca

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Selama ini, ramai menyangka seni arca mestilah boleh disentuh dan mempunyai bentuk fizikal yang nyata.

Namun, seorang seniman dari Itali, Salvatore Garau, tampil mencabar tanggapan itu dengan menghasilkan karya seni ‘halimunan’ yang membuktikan bahawa seni bukan hanya tentang apa yang dapat dilihat dengan mata.


Pada tahun 2021, Garau mencetuskan perdebatan apabila memperkenalkan karya berjudul Io Sono (yang bermaksud “Saya Adalah”). Apa yang menarik, arca tersebut langsung tidak dapat dilihat dengan mata kasar! Ia hanya wujud sebagai konsep dan idea yang ‘dihidupkan’ melalui imaginasi.

Menurut Garau, walaupun arca itu kelihatan ‘kosong’, ia sebenarnya sarat dengan makna dan tenaga.

“Apabila saya memamerkan arca tidak berjasad ini, ruang tersebut akan dipenuhi dengan tenaga. Ia mencipta seni yang hanya wujud dalam bayangan,” jelasnya.

Lebih mengujakan, Garau turut mengaitkan konsep itu dengan prinsip fizik kuantum.

“Ruang kosong itu sebenarnya mempunyai tenaga. Walaupun kita tak nampak apa-apa, menurut prinsip ketidakpastian Heisenberg, kekosongan itu ada berat dan boleh berubah menjadi zarah iaitu kita,” katanya.

Artikel berkaitan: “Tangan seni” – Orang Ramai Teruja Tengok Lelaki Ini Tulis Khat Guna ‘Hot Glue Gun’

Artikel berkaitan: “Yang batal ‘job’ tiada” – Ruhainies Dedah Karier Seni Tak Terjejas, Kontroversi Tular Sampai Ke China

Screenshot 2025 05 24 113940
Arca ‘halimunan’ bertajuk Io Sono oleh seniman Itali, Salvatore Garau, yang dipamerkan di muzium.

Apa yang mengejutkan, karya tersebut berjaya dilelong pada harga €15,000 (lebih kurang RM85,000!) oleh rumah lelongan Art-Rite di Itali.

Pembeli hanya menerima sijil ketulenan dan arahan untuk ‘memamerkan’ arca itu di rumah mereka dalam satu ruang terbuka berukuran lima kaki persegi.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Garau menghasilkan seni sebegini.

Pada Februari 2021, beliau mempersembahkan karya Buddha in Contemplation di Milan, yang hanya ditanda dengan pita pelekat di atas jalan batu.

Seminggu kemudian, beliau memperkenalkan pula Afrodite Cries di hadapan Bursa Saham New York, juga sekadar satu bulatan putih kosong, namun tetap diiktiraf sebagai arca.

Pada tahun 2023, Garau mempersembahkan dua lagi karya tak kelihatan bertajuk LOVE, IMMENSE LOVE di Jerusalem dengan salah satu daripadanya diletakkan di Bukit Baitulmaqdis, satu lagi di kawasan Tembok Ratapan.

Seperti biasa, ia hanya ditandakan dengan bulatan putih, namun menurut Garau, arca itu diperbuat daripada “bahan yang sama seperti cinta”.

“Kita perlu melihatnya dengan mata hati. Arca ini setinggi tiga meter dan bentuknya bergantung kepada apa yang anda bayangkan,” katanya.

Sumber: LinkedIn

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.