Akibat terlalu takut, pasangan remaja bertindak menyembunyikan kelahiran sehingga menyebabkan kematian bayinya dalam sebuah beg di sebuah rumah di Telok Kemang, Negeri Sembilan pada Selasa lalu.
Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, pasangan berusia 18 dan 21 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan iaitu di Telok Kemang dan Port Dickson.
Artikel berkaitan: Doktor Kongsi Murid Darjah 2 Hilang Penglihatan, Akibat Dari Bayi Diberi Makan ‘Processed Food’
Artikel berkaitan: Kes Bayi 4 Bulan Meninggal Dunia Di Taska, Ada Yang Salahkan Ibu Bekerja
“Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 11.13 pagi dari Hospital Port Dickson berkenaan pesakit perempuan warga tempatan berusia 18 tahun telah melahirkan anak tetapi bayinya gagal dikesan.
Siasatan lanjut yang dijalankan oleh pihak polis menemui bayi tersebut yang disembunyikan di dalam sebuah beg dalam bilik di sebuah rumah di Taman Intan Perdana dekat sini,” katanya.
Difahamkan, bayi perempuan itu berada dalam keadaan cukup sifat namun disahkan telah meninggal dunia dan terdapat kesan kecederaan pada bahagian dada dipercayai kerana objek tajam.
“Remaja perempuan yang bekerja di restoren makanan segera dan kekasihnya penganggur ditahan antara jam 9.30 hingga 9.45 malam di lokasi berasingan di sini. Hasil semakan suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Berikutan itu, polis turut merampas uri, pakaian, senjata iaitu pisau dan telefon bimbit untuk siasatan lanjut,” katanya lagi.
Dalam pada itu, motif kejadian itu adalah disebabkan rasa bimbang dan takut dengan keluarga, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson pagi ini untuk permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian