Petang semalam, kita dikejutkan dengan insiden pokok tumbang yang berlaku di Jalan Sultan Ismail dekat Kuala Lumpur. Sekurang-kurangnya 17 buah kenderaan terlibat termasuklah landasan monorel telah dihalang dengan dahan-dahan pokok.
Dalam pada itu, seorang mangsa berusia 47 tahun dilaporkan telah meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi mangsa yang berumur 26 tahun telah mengalami kecederaan.

Adik reda abang ‘pergi’
Adik kepada mangsa iaitu Shahrizan Atan, 38, ketika ditemui di Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur telah meluahkan rasa sedih namun reda dengan pemergian abang secara sekelip mata.
Saya kehilangan abang sekelip mata…peribadi saya, saya ralat la kat situ sebab abang saya takde sakit apa.
Difahamkan, Shahrizan sudah tahu mengenai kejadian pokok tumbang semalam namun dia tidak menjangka mangsa yang terlibat adalah abangnya sendiri.
Selepas anak dia telefon, saya kebetulan dekat rumah abang sebab nak tengok ayah yang baru keluar dari hospital sebab serangan jantung..
Saya tak bagitahu apa-apa lagilah dekat dia yang abang saya, saya kata tenang dulu bagi saya pastikan dulu betul ke abang saya yang nombor tiga.
Majikan memaklumkan, arwah yang bertugas sebagai pemandu peribadi tidak sampai ke destinasi untuk mengambil penumpang di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Artikel berkaitan: Pokok Besar Tumbang Hempap Kenderaan & Landasan Monorel, Seorang Dilapor Meninggal Dunia
Artikel berkaitan: Sebab Nak Buat Tuntutan Dengan MBSA, Mangsa Halang Bomba Alih Pokok Hempap Keretanya
Sebaik sahaja mendapat maklumat, Shahrizan Atan terus mengambil isteri serta empat orang anak abangnya untuk membuat pengecaman mayat.

Abang seorang yang baik
Shahrizan Atan turut menyifatkan abangnya seorang yang sangat baik dan selalu mengambil berat tentang keluarganya. Arwah Md Rizal Atan juga kerap membantu ayah mereka yang dirawat di hospital.
Abang saya memang seorang abang yang baiklah.. mengambil berat tentang kami adik beradik.. Masa ayah saya dekat hospital pun dia yang banyak membantu sebab dia pemandu peribadi, bos dia pun bagi pinjam kerusi roda dan bagi pinjam kenderaan untuk ambil ayah saya keluar masuk hopital.
Selain itu, Shahrizan berkata setakat ini tiada lagi perbincangan dibuat mengenai tindakan susulan terhadap Pihak Berkuasa Tempat (PBT) disebabkan kesemua ahli keluarga masih lagi terkejut.
Sepatutnya PBT dah maklumlah benda tu sebab saya tengok kejadian tu dah melibatkan benda yang dah uzur (pokok tua), benda yang dah lama sepatutnya diselenggara dengan baiklah.
Hari ini, jenazah mangsa telah dituntut oleh ahli keluarga pada jam 12 tengah hari tadi sebelum disembahyang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam selepas solat Zuhur.
Sumber: Buletin TV3