Setiap kali berlangsungnya sukan Olimpik, mesti ada timbul macam-macam kontroversi. Tapi, Olimpik tahun ni, macam tak henti-henti pula kontroversi yang berlaku dari upacara pembukaan sehinggalah sekarang.
Malah, ada yang mengatakan Olimpik Paris 2024 ni adalah antara Olimpik yang paling bermasalah sekali. Jadi, apa kata kita tengok antara kontroversi yang berlaku sepanjang berlangsungnya sukan Olimpik ni dan kita nilai sendiri. Jom!
1. Upacara Pembukaan Olimpik
Ketika Olimpik Paris 2024 membuka tirainya pada 26 Julai lalu, media sosial jadi kecoh bila ramai mempersoalkan tindakan tuan rumah yang menggunakan elemen LGBT serta turut membuat beberapa persembahan yang dikatakan tidak menghormati agama.
Selain itu, ia juga turut mengundang kontroversi apabila persembahan dari sebuah band metal telah mempamerkan imej Marie Antoinnette tanpa kepala.
Disebabkan ini, jurucakap untuk Paris 2024, Anne Descamps telah memohon maaf sekiranya upacara tersebut telah menyinggung mana-mana pihak. Menurutnya, mereka tak ada niat untuk tak menghormati mana-mana kumpulan agama dan hanya mahu meraikan toleransi di dalam komuniti.
Kami rasa apa yang nak disampaikan telah pun dicapai. Kalau ada orang yang terasa, kami minta maaf.”
Artikel berkaitan: Kisah Marie Antoinette, Wanita Tanpa Kepala Yang Curi Tumpuan Di Olimpik Paris
2. Pesalah seks
Seorang pemain bola tampar pantai, Steven van de Velde telah dijatuhkan hukuman penjara empat tahun pada tahun 2016 selepas mengaku bersalah merogol seorang kanak-kanak berusia 12 tahun semasa dia berusia 19 tahun.
Penglibatannya mewakili pasukan Netherlands telah mengundang kritikan lebih-lebih lagi apabila van de Velde telah ditempatkan di satu lokasi rahsia berbanding duduk di perkampungan atlet.
3. Perdebatan jantina
Seorang petinju Algeria Imane Khelif dilanda kontroversi selepas lawannya dari Itali, Angela Carini mengabaikan perlawanan tak sampai seminit selepas ia bermula.
Carini yang telah pun memohon maaf selepas mencipta kritikan yang hebat terhadap Imane Khelif menerangkan bahawa dia tak pernah dipukul sekuat itu dan membuat keputusan untuk menyerah kalah kerana kesakitan yang melampau di hidungnya.
Walaupun masih ramai yang mempersoalkan jantina petinju Algeria ini, didedahkan bahawa Imane dilahirkan sebagai seorang wanita dan telah bertanding dalam kategori wanita sepanjang kerjayanya tanpa apa-apa keraguan sehingga baru-baru ini.
Dalam salah satu temubual, Imane telah meminta agar semua orang untuk tidak membuli atlet yang bertanding kerana ia boleh memberikan impak yang besar.
Ia boleh musnahkan orang, ia boleh membunuh fikiran dan semangat seseorang. Ia boleh memecahbelahkan orang. Dan kerana ini, saya minta untuk semua orang tahan diri dari membuli.”
Artikel berkaitan: Kenali Imani Khelif, Petinju Wanita ‘Berbadan’ Lelaki Yang Dilanda Kontroversi ‘Jantina’ Di Olimpik
4. Sungai Seine
Latihan triatlon di Sungai Seine telah dibatalkan untuk hari kedua berturut-turut kerana kualiti air yang tidak memuaskan.
Ia berikutan kebimbangan terhadap paras kumbahan yang tinggi di dalam air menjelang sukan Olimpik Paris.
Seorang atlet Belgium telah dipaksa untuk menarik diri dari triatlon selepas dilaporkan dijangkiti penyakit E.coli.
Belgium bagaimanapun masih belum mengesahkan sama ada penyakit atlet tersebut adalah kesan dari berenang di Sungai Seine namun surat khabar di sana melaporkan yang atlet tersebut terlalu sakit untuk bertanding.
Sebelum ini, berenang di Sungai Seine telah dilarang selama lebih satu abad. Sejak tahun 2015, penganjur telah menghabiskan sebanyak US$1.5 bilion untuk membersihkan sungai tersebut bagi memberi laluan kepada Olimpik dan untuk warga Paris mendapat sungai yang lebih bersih selepas sukan ini.
Malah, Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo telah berendam di dalam sungai tersebut untuk membuktikan kebersihannya namun ramai masih tak yakin.
5. Larangan hijab
Ramai atlet dari seluruh dunia telah bersuara mengenai tindakan Perancis melarang mana-mana atletnya dari memakai hijab atau apa-apa penutup kepala ketika acara Olimpik. Atlet telah diberitahu yang mereka tak dibenarkan untuk bertanding jika memakai hijab.
Beberapa atlet dari negara lain termasuk Mesir enggan mengikut arahan dari Perancis dan mengkritik negara itu selepas bertanding dengan Sepanyol menggunakan pakaian sukan menutup aurat.
6. Keadaan tempat tinggal atlet
Walaupun Olimpik Paris telah mengeluarkan belanja sebanyak hampir US$9 bilion, ramai atlet yang mengadu dengan keadaan tempat tinggal mereka di sana.
Seorang petinju India mengatakan yang dia perlu mengambil bas selama 45 minit dari Perkampungan Olimpik ke arena dalam keadaan yang panas tanpa penghawa dingin.
Malah, pemenang pingat emas, Thomas Ceccon mengatakan yang dia membuat keputusan untuk tidur di taman berhampiran Perkampungan Olimpik kerana mendakwa kepanasan dan bunyi bising membuatkan dia sukar untuk mendapat rehat yang cukup.
Selain itu, ramai atlet juga telah mengadu kelaparan kerana makanan yang dikatakan tak cukup. Malah, pasukan Great Britain turut membawa tukang masak sendiri untuk mengatasi masalah ini.
7. Atlet Jepun minum arak dan merokok
Shoko Miyata, kapten kumpulan gimnastik Jepun didakwa telah melanggar peraturan pasukan dengan minum alkohol dan merokok. Atlet ini kemudiannya telah menarik diri dari menyertai Olimpik Paris 2024.
Beberapa laporan mengatakan bahawa Shoko Miyata telah minum arak dan merokok di dua acara berbeza. Atlet ini bagaimanapun tidak memberikan apa-apa komen mengenai dakwaan ini namun telah memadam semua akaun media sosialnya.
Sumber: The Standard, Today, SBS