Jika anda masih ingat, banyak permainan menyeronokkan yang pernah kita main semasa zaman kanak-kanak. Antaranya adalah lawan pemadam, main gasing, kumpul pelekat Pokemon dan bermain kejar-kejar.
Dalam banyak-banyak permainan kanak-kanak yang disenaraikan di atas, harus kita akui bermain kejar-kejarlah yang paling memenatkan. Sebab itulah kebiasaannya permainan kejar-kejar dimainkan selepas habis waktu sekolah atau waktu petang.
Kejar-kejar kebiasaannya dimainkan dalam bilangan yang ramai dan individu yang disentuh akan mengejar yang lain untuk menyentuh mereka pula. ‘Chop’ pula akan digunakan jika yang dikejar sudah berputus asa atau penat.
Meskipun permainan kejar-kejar ini menyeronokkan, namun permainan ini hanya dimainkan oleh kanak-kanak sahaja. Jarang sekali kita nampak pelajar sekolah menengah atau remaja bermain permainan ini.
Namun tahukah anda, wujud sekumpulan rakan di Amerika Syarikat yang bermain kejar-kejar sehingga mereka tua?
Main kejar-kejar selama 28 tahun
Sekumpulan rakan ini sering bermain kejar-kejar semasa zaman kecil mereka. Mereka mula bermain permainan ini semasa zaman sekolah pada tahun 1980-an di Washington.
Pada ketika itu, mereka sudah bersetuju untuk berhenti bermain kejar-kejar selepas tamat persekolahan. Individu terakhir yang disentuh, Joe Tombari berjaya menjadi seorang guru di Spokane.
Selepas 8 tahun berlalu, mereka semua membuat perjumpaan semula dan Joe mengingatkan rakan-rakannya tentang permainan yang mereka sering main semasa kecil.
Lalu, salah seorang mencadangkan agar permainan kejar-kejar dihidupkan semula meskipun mereka sudah berumur.
Hanya pada setiap bulan Februari
Bagaimanapun, permainan kejar-kejar ini tidak dimainkan pada setiap hari kerana mereka mempunyai komitmen yang tersendiri. Permainan ini akan dimainkan pada setiap bulan Februari dan mereka akan sentiasa bersedia daripada sebarang ‘ancaman’ rakan-rakan yang lain.
Uniknya, sesiapa yang akhir sekali disentuh akan membawa ‘beban’ ini sehingga ke bulan Februari pada tahun hadapan. Cuba bayangkan ‘beban’ yang perlu dibawa oleh individu terakhir selama setahun, sebelum permainan ini boleh dimainkan semula.
Tiada peraturan, siap rentas negara nak kejar rakan
Tiada peraturan yang ditetapkan dalam permainan kejar-kejar antara 10 sahabat ini. Untuk rekod, mereka pernah menaiki kapal terbang ke negara lain hanya untuk mengejar rakan yang lain.
Malah, mereka juga pernah menggunakan isteri sendiri sebagai pengintip agar tidak ‘diserang hendap’ oleh rakan yang terakhir sekali disentuh pada bulan Februari sebelumnya.
Salah seorang ahli permainan ini, Mike Konesky pernah memecah masuk ke dalam rumah rakan yang lain pada pukul 2 pagi hanya untuk menyentuh mereka.
Tidak cukup dengan itu, mereka juga pernah bermain permainan ini semasa di hospital apabila ada isteri yang sedang melahirkan anak. Ada juga yang disentuh semasa majlis pengebumian.
Pernah juga salah seorang daripada mereka menyamar sebagai peminta sedekah dengan memakai rambut palsu dan misai palsu.
Siap ada perjanjian
Punya serius mereka dalam permainan ini, satu kontrak perjanjian telah dibuat pada Januari 1990 dengan bantuan peguam. Segala peraturan dan undang-undang tertera di dalam kontrak dan perlu ditandatangani oleh kesemua 10 ahli.
Salah satu peraturan yang ditetapkan adalah individu yang baru sahaja disentuh tidak boleh menyentuh individu tersebut semula. Malah, peserta juga perlu jujur jika ditanya oleh peserta lain jika dia sedang membawa ‘beban’ itu.
Jika anda nak baca kontrak penuh mereka, boleh baca di sini.
Kisah dijadikan filem
Oleh kerana kisah sekumpulan rakan ini unik dan lucu, sebuah filem telah dihasilkan berdasarkan kisah permainan kejar-kejar mereka. Namun dalam filem ini, pengarah hanya meletakkan 5 karakter sahabat berbanding 10 sahabat dalam kisah sebenar.
Buat anda yang mahu tonton kisah sekumpulan sahabat ini, anda boleh tonton filem Tag yang dibintangi oleh Jeremy Renner, Jon Hamm, dan Jake Johnson.
Sumber: History vs Hollywood
BACA: 7 Filem Lakonan Ma Dong-Seok Yang Anda Wajib Tonton, Semua Best!