Lelaki berusia 19 tahun yang ditahan berhubung kes cabul kanak-kanak baru-baru ini telah direman selama tujuh hari.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu telah mengeluarkan perintah reman terhadap suspek bermula Sabtu, lapor Sinar Harian.
Jelasnya, suspek kini direman selama tujuh hari untuk membolehkan pihak berkuasa menyiasat kes tersebut secara menyeluruh di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Dalam pada itu, pihak polis masih menunggu laporan rasmi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi pengesahan status OKU suspek.
Difahamkan, pihak berkuasa dan JKM terus bekerjasama untuk memastikan keadilan ditegakkan dan mangsa serta keluarga mendapat bantuan yang sewajarnya.
Artikel berkaitan: Lelaki Didakwa Cabul Wanita Di Pasar Raya, Caprice Gesa Polis Buru Pelaku
Artikel berkaitan: CCTV Rakam Lelaki Didakwa Buat Perbuatan Tak Senonoh Terhadap Kanak-kanak Di Masjid

Sementara itu, masyarakat digalakkan untuk melaporkan sebarang kejadian mencurigakan di tempat awam bagi memastikan keselamatan bersama terjamin.
Menurut laporan sebelum ini, kejadian berlaku pada Jumaat ketika mangsa sedang menunaikan solat Subuh di ruang solat wanita.
Rakaman CCTV di masjid itu menangkap saat-saat seorang lelaki menyelinap masuk ke ruang solat wanita.
Dari rakaman sama, terlihat bahawa suspek mendekati mangsa dari belakang ketika kanak-kanak itu sedang sujud sebelum mengangkat mangsa dan membawanya ke ruangan lain.
Difahamkan, mangsa berjaya melepaskan diri selepas bergelut dengan suspek.