Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan semalam telah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 ke atas seorang suri rumah selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mencari langganan bagi tujuan persundalan di sebuah rumah tumpangan di Kubang Kerian bulan lalu.
Aniza Shakiera Ahmad, seorang ibu yang mempunyai tujuh orang anak ini telah membuat pengakuan bersalah tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.
Artikel berkaitan: “Saya menyesal” – Peniaga Pisang Goreng Sebak, Mengaku Bersalah B*kar Motosikal
Artikel berkaitan: Nonny Nadirah Dakwa Diganggu Sihir Punca Buka Tudung & Berpenampilan Seksi
Menurut fakta kes, Cawangan Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan berjaya menumpaskan kegiatan pelacuran menerusi Op Noda di sebuah rumah tumpangan di Kubang Kerian di sini pada 16 November lalu.
Dalam operasi yang dijalankan pada 16 November lalu itu, seorang anggota polis telah menyamar sebagai pelanggan untuk membuat langganan dengan tertuduh, wanita berusia 36 tahun ini kemudiannya telah menawarkan perkhidmatan seks melalui aplikasi WhatsApp dengan bayaran sebanyak RM150 untuk sekali langganan.
Sebelum ini, pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mazlinda Mohd Nor, telah memohon supaya mahkamah memberi hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Namun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ariyani Mohd Amin yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberi hukuman denda paling minima memandangkan tertuduh sudah insaf dan tidak bekerja selain mempunyai tujuh orang anak.
Mahkamah kemudiannya telah mengarahkan tertuduh membayar denda RM2,000 dan jika gagal akan dipenjara selama tiga bulan.
Sumber: Kosmo, Harian Metro