Bersempena Fashion Week 2022 bagi musim luruh dan musim sejuk baru-baru ini, supermodel terkenal Gigi Hadid juga tidak terkecuali melibatkan diri di pentas peragaan di kesemua empat buah ‘fashion capital’.
Pun begitu, Gigi yang merupakan supermodel Amerika Syarikat berdarah Palestin ini bukan sahaja menjadi bualan para peminat kerana peragaannya, namun dia juga telah menjadi perhatian berikutan tindakannya untuk menderma kesemua pungutan gajinya sepanjang acara Fashion Week kali ini!
Gigi telah pun berkongsikan berita tersebut menerusi laman Instagramnya semalam (7 Mac 2022). Melalui posting tersebut, dia mengumumkan agar kesemua hasil pungutan gajinya itu akan didermakan kepada mangsa yang terkesan akibat pergolakan yang berlaku di Ukraine dan Palestin.
https://www.instagram.com/p/CaxdvrvOrlG/
Melalui kapsyennya di posting berkenaan, dia dan rakan sekerja tidak mampu mengawal kekangan kerja serta mempunyai jadual yang padat sepanjang bulan fesyen ini. Pada masa yang sama, krisis menyayat hati yang melanda masih lagi berlaku. Justeru, mereka juga ingin menyumbang sesuatu kepada mangsa yang terkesan.
Mengikut jejak langkah rakan kerjayanya, Mica Argañaraz, Gigi telah membuat pengumuman untuk mendermakan pendapatannya sepanjang Fashion Week Fall 2022 ini untuk membantu mereka yang menderita akibat pergolakan di Ukraine dan Palestin.
“Mata hati kita mestilah sentiasa terbuka kepada semua ketidak-adilan manusia. Semoga kita semua melihat satu sama lain sebagai keluarga, melangkaui politik, kaum, dan agama. Di penghujung hari nanti, nyawa tidak bersalah yang harus membayar atas apa yang berlaku, bukan pemimpin,” jelasnya.
Selain Gigi Hadid, pelakon Mila Kunis bersama suaminya Ashton Kutcher juga telah mendermakan sebanyak $3 juta untuk membantu pelarian yang melarikan diri daripada negara asal mereka. Tidak ketinggalan, aktor terkenal Ryan Reynolds bersama isterinya Blake Lively turut mengumpul dana bagi menghulurkan bantuan.