in

Sultan Selangor Titah Semua Rumah Amal Dan Sekolah Islam Bawah GISBH Ditutup Secepatnya

Sultan Selangor

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar semua rumah amal dan sekolah Islam di bawah GISB Holding Sdn. Bhd. (GISBH) ditutup serta merta dan dihalang daripada beroperasi di negara ini.

Tegas baginda, penutupan tersebut juga termasuk rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dengan apa-apa kegiatan jenayah termasuk jenayah syariah, lapor Kosmo!.


Dalam masa yang sama, baginda juga terkejut dan kesal kerana isu melibatkan GISBH itu dibiarkan berlanjutan dalam tempoh lama tanpa sebarang tindakan.

“Menurut laporan Beta terima, kebanyakan rumah amal di bawah GISBH yang terbabit di dalam siasatan sudah lama beroperasi di beberapa negeri khususnya Selangor tanpa pendaftaran seperti mana keperluan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa kelewatan menangani perkara ini menunjukkan kelemahan dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang oleh agensi-agensi agama terhadap rumah amal dan sekolah agama Islam yang berkaitan dengan GISBH serta rangkaiannya sehingga menyebabkan perkara ini menjadi begitu serius dan tidak terkawal,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, Klang hari ini.

Artikel berkaitan: Hampir Kesemua Anak CEO GISBH Dikatakan Bekerja Dengan GISBH

Artikel berkaitan: Mahu Elak Dikesan Pihak Berkuasa, Pengikut GISBH Tanam Buku Di Tepi Sungai

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sultan selangor, sultan sharafuddin idris shah

Oleh itu, baginda telah memanggil mengadap Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ketua Polis Selangor dan beberapa anggota MAIS di dalam satu mesyuarat bagi mendapatkan maklumat lengkap dan mengenal pasti langkah-langkah segera yang perlu diambil bagi menangani perkara tersebut.

“Pada masa sama, sebagai langkah pencegahan bagi mengelak kanak-kanak yang terlibat dari terus dianiayai, Beta menitahkan semua rumah amal dan sekolah Islam yang di bawah kawalan GISBH dan rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dengan apa-apa kegiatan jenayah termasuk jenayah syariah hendaklah diarah ditutup segera dan tidak dibenarkan beroperasi di Selangor,” titah baginda.

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.