Kebanyakan wanita akan mengambil kelas seni mempertahankan diri sebagai persediaan dunia ‘gila’ zaman sekarang, lain pula bagi satu suku kaum dari India ni. Wanita dari suku kaum Apatani atau Tani di daerah Arunachal Pradesh sanggup mencacatkan muka mereka agar tidak menjadi mangsa nafsu lelaki.
Suku Apatani
Kebanyakan penduduk Arunachal Pradesh adalah berketurunan Tibet atau Thai-Burma. Sebab itulah raut wajah suku Apatani ini lebih ke arah itu. Mereka dikenali dengan kehebatan bercucuk tanam dan sistem pertanian mereka yang power tanpa menggunakan haiwan ternakan atau pun mesin.
Suku Apatani tinggal di situ sejak beberapa abad yang lalu dan mengamalkan agama Donyi-Polo yang menyembah matahari dan bulan. Sehingga kini, mereka masih menggunakan peralatan tradisional untuk bercucuk tanam.
Dambaan para lelaki
Kalau diikutkan cerita orang dulu, wanita Apatani ini dikatakan terkenal dengan kecantikan paras rupa sehinggakan menjadi dambaan ramai lelaki dari suku kaum lain. Malah, para lelaki yang tergila-gilakan wanita Apatani ini sanggup menceroboh masuk kampung dan melarikan mereka.
Disebabkan itulah, golongan tua dalam masyarakat mereka mengarahkan wanita ‘memburukkan’ muka masing-masing tak kira tua atau muda. Sebagai taktik melindungi diri daripada diculik, mereka akan memakai penyumbat hidung yang dipotong mengikut saiz lubang hidung masing-masing. Selain itu, wajah mereka juga mempunyai tatu bergaris di muka dan dagu.
Susah bernafas, tapi lama-lama terbiasa
Meskipun nampak ngeri dan macam sakit tengok mereka pakai tapi wanita Apatani sudah terbiasa dengan hidup dalam keadaan hidung disumbat objek seperti kayu.
Sukar untuk bernafas tapi lama-kelamaan ianya menjadi kebiasaan buat mereka. Apatah lagi, tujuan asalnya adalah untuk keselamatan diri. Daripada diculik dan hilang tanpa khabar berita, lebih baik ‘jelekkan’ muka. Itulah prinsip dipegang wanita Apatani.
Tradisi semakin pupus
Kalau nak diikutkan, wanita yang sudah mencapai akil baligh akan diarahkan untuk ‘hodohkan’ muka mereka sebagai tanda memasuki alam dewasa. Namun tradisi itu semakin pupus dan tidak menjadi ikutan turun temurun sejak kerajaan India mengharamkan amalan tersebut sekitar tahun 1970-an.
Golongan tua Apatani dikatakan masih meneruskan tradisi dan memakai objek di hidung serta tatu di muka. Namun, generasi muda tidak meneruskan tradisi nenek moyang mereka ini kerana mereka tidak mahu muka kelihatan aneh. Mereka juga berpendapat tradisi itu akan merencatkan masa depan jika mereka ingin berhijrah dan bekerja di bandar.
Baca: UNIK! Suku Buton Di Indonesia Mempunyai Mata Sebiru Air Laut Sampai Jadi Tarikan Pelancong