Selepas penantian panjang, sukan paling berprestij Asia Tenggara akhirnya kembali apabila Sukan SEA Thailand 2025 membuka tirainya malam semalam di Stadium Nasional Rajamangala yang diserikan dengan persembahan megah serta pertunjukan cahaya yang memukau.
Bagi penganjuran kali ini, Thailand kembali memikul tanggungjawab sebagai tuan rumah dengan mengambil alih penganjuran daripada Kemboja yang menjadi hos pada tahun 2023 terdahulu. Malaysia seterusnya dijadualkan menggalas peranan sebagai tuan rumah pada tahun 2027 nanti.
Secara umum, Sukan SEA diadakan setiap dua tahun dan ianya dianggap sebagai temasya sukan terbesar di Asia Tenggara kerana ia akan menghimpunkan atlet terbaik serantau Asia untuk bersaing dalam temasya berprestij ini.
Tapi korang tahu tak, negara mana yang paling kerap menjadi tuan rumah Sukan SEA sejak ia ditubuhkan pada tahun 1959? Kalau korang nak tahu negara mana, boleh teruskan baca artikel di bawah ni.
Artikel Berkaitan: Gara-gara Konflik Sempadan, Kemboja Tarik Diri Daripada Sukan SEA – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: “Terbaik sepanjang zaman!” – 7 Atlet Malaysia ‘Lejen’ Yang Mencipta Sejarah! – Lobak Merah
Thailand

Sepanjang Sukan SEA pernah berlangsung sejak tahun 1959, negara Thailand telah menjadi tuan rumah bagi Sukan SEA sebanyak tujuh kali iaitu pada tahun 1959, 1967, 1975, 1985, 1995, 2007 dan 2025.
Sebagai salah satu negara pengasas Sukan SEA, Thailand bukan sahaja menjadi pentas utama buat para atletnya setiap kali mereka menganjurkan sukan temasya itu di negaranya.
Malah, Thailand juga sering menonjol dengan meraih jumlah pingat emas terbanyak dalam sejarah Sukan SEA iaitu sebanyak 13 kali sebagai juara keseluruhan. Perkara ini jelas menunjukkan yang atlet tempatan negara itu selalu mempamerkan prestasi terbaik mereka yang sekaligus memperkukuhkan reputasi Thailand dalam arena sukan Asia Tenggara.
Setiap kali negara ini menjadi tuan rumah, Thailand terkenal dengan upacara pembukaan yang megah. Begitu juga dengan pembukaan upacara perasmian Sukan SEA Thailand 2025 malam tadi di mana persembahannya penuh meriah dengan pertunjukan cahaya dan air sebelum diikuti dengan kontijen-kontijen dari pelbagai negara Asia Tenggara.
Dengan menjadi tuan rumah Sukan SEA tahun ini, sukan Teqball juga disertakan buat pertama kali iaitu sebuah sukan yang menggabungkan elemen bola sepak dan ping pong di atas meja yang melengkung.
Malaysia

Negara Malaysia juga merupakan antara negara yang kerap menjadi tuan rumah buat Sukan SEA dengan penganjuran sebanyak enam kali setakat ini. Kali terakhir negara kita menganjurkan sukan temasya ini adalah pada tahun 2017 di samping dijadualkan kembali menjadi tuan rumah pada tahun 2027.
Negara kita pernah mencipta kejayaan tersendiri dalam sejarah Sukan SEA apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2001 dan 2007 di mana kedua-duanya ketika negara menjadi tuan rumah.
Menurut laporan Utusan, Malaysia sebelum ini telah membawa pulang lima pingat emas, tiga perak dan 11 gangsa pada Sukan SEA 2023 di Kemboja. Meskipun tidak dinobatkan sebagai juara keseluruhan, pencapaian itu tetap diperlihatkan sebagai kerja keras para atlet negara yang wajar dibanggakan.
Seperti yang kita tahu, sukan Badminton sentiasa menjadi acara yang paling dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia setiap kali temasya sukan berlangsung. Sorakan daripada penyokong serta harapan tinggi terhadap wakil atlet negara bersama detik-detik yang mendebarkan di gelanggang menjadikan sukan ini seolah-seolah seperti acara kemuncak buat Sukan SEA.
Namun begitu, kekuatan Malaysia tidaklah terhad kepada satu jenis sukan sahaja. Negara ini turut mencipta namanya melalui prestasi yang membanggakan seperti sepak takraw, berbasikal, hoki, tenis dan sebagainya yang sekaligus kita dapat melihat kehebatan wakil atlet negara kita.
Singapura

Singapura ialah antara negara yang terawal menyertai Sukan SEA sejak ia dimulakan pada tahun 1959 bersama lima negara yang lain.
Singapura pernah menjadi tuan rumah Sukan SEA sebanyak empat kali iaitu pada tahun 1973, 1983, 1993 dan kali terakhirnya adalah pada tahun 2015.
Walaupun negara ini tidak pernah meraih gelaran juara keseluruhan, kehebatan atlet tempatannya tetap tiada tandingan apabila mereka berjaya menempatkan diri di kedudukan tinggi dalam carta pingat setiap kali bertanding.
Menurut laporan media tempatan, Singapura menghantar seramai 554 atlet negara yang bertanding dalam 30 jenis sukan dan akhirnya telah membawa sebanyak 51 emas, 43 perak dan 64 gangsa. Kemenangan ini juga termasuklah daripada seramai 259 atlet baharu yang menyumbang kepada 57 daripada 158 pingat.
Kekuatan utama negara ini tertumpu pada sukan renang dan air di mana pasukan renang berjaya meraih sebanyak 47 pingat termasuk daripada emas, perak dan gangsa sambil mencatat beberapa rekod yang lain.
Atlet yang terkenal daripada negara itu seperti Quah Tin Weng, berjaya meraikan 60 pingat sepanjang penglibatannya dalam Sukan SEA, manakala kehebatan Jonathan Tan dalam Sukan Sea 2023 pula berjaya menunjukkan kelayakannya ke Olimpik Paris 2024.
Filipina

Secara rasminya, Filipina mula menyertai dan menghantar atlet negaranya untuk Sukan SEA adalah pada tahun 1977 di mana negara kita yang mengetuai sukan temasya itu.
Setakat ini, negara ini sudah menjadi tuan rumah buat Sukan SEA empat kali sahaja iaitu sama seperti negara Singapura.
Meskipun Filipina sertai sukan berprestij ini sedikit lewat berbanding negara-negara lain, namun ianya tetap berjaya menunjukkan kehebatan atlet tempatannya pada tahun 2005 dan 2019. Pada waktu itu, Filipina berjaya memperoleh pingat emas terbanyak berbanding negara lain sekaligus memenangi juara keseluruhan.
Menurut laporan media tempatan negara itu, Filipina telah memperoleh 58 pingat emas, 86 pingat perak dan 116 pingat gangsa yang menempatkan dirinya di tangga kelima di belakang Vietnam, Thailand, Indonesia dan Kemboja.
Tahun ini, Filipina telah menghantar kontijen terbesar mereka setakat ini yang dianggarkan seramai 1,600 atlet dan pegawai dengan misi untuk menyaingi atau sekurang-kurangnya mengekalkan kedudukan negara itu di tempat kelima seperti yang pernah dicapai sebelum ini.
Indonesia

Sama seperti negara Singapura dan Filipina, Indonesia pernah dipilih untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA sebanyak empat kali.
Meskipun begitu, Indonesia telah merangkul gelaran juara keseluruhan sebanyak sepuluh kali, menjadikan kedudukannya di belakang Thailand yang mendahului carta juara keseluruhan.
Negara ini sangat terkenal dengan kehebatannya dalam sukan bola sepak terutamanya dalam Sukan SEA. Pasukan bola sepak Indonesia iaitu Garuda, telah meraih emas sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1987, 1991 dan pada tahun 2023 iaitu kali terakhir Sukan SEA dianjurkan.
Selain itu, Indonesia juga sudah beberapa kali menjadi runner-up pada tahun 1979, 1997, 2011, 2013 dan 2019. Pada Sukan SEA 2023 yang lalu, Indonesia berjaya berada di kedudukan ketiga keseluruhan dengan memperolehi sebanyak 87 pingat emas, 80 pingat perak dan 109 gangsa.
Pencapaian yang berjaya diperolehi oleh negara ini jelas menunjukkan prestasi atlet yang konsisten boleh membawa hasil yang membanggakan buat negaranya.
Oleh demikian, sistem giliran penganjuran setiap dua tahun ini membolehkan setiap negara ahli ASEAN berpeluang untuk menjadi tuan rumah sambil mempamerkan keupayaan mereka dalam mengendalikan sukan temasya yang berprestij tinggi.
Namun setakat artikel ini ditulis, Timor-Leste merupakan satu-satunya negara yang masih belum pernah menjadi tuan rumah bagi Sukan SEA sejak penyertaannya pada tahun 2003.
