Perkhidmatan kurier merupakan servis yang sangat penting terutamanya dalam era semasa, memandangkan segala pelaksanaan urusan dari pembelian dalam talian sehinggalah penghantaran dokumen boleh dilakukan melalui aplikasi mudah alih.
Menurut statistik tahun 2024, industri kurier negara telah menghantar lebih 899 juta bungkusan daripada perkhidmatan e-dagang setakat suku ke-3 dan mencecah 1.3 billion bungkusan secara keseluruhan.
Walaupun ada sesetengah daripada kita menerima sekurang-kurangnya satu bungkusan setiap hari tak ramai yang sedar yang kita ada tanggungjawab dan hak sebagai pengguna perkhidmatan pos dan kurier.

Oleh itu, penting untuk korang mengenali Postal Forum kalau korang suka ‘online shopping’ dan banyak menggunakan perkhidmatan kurier. Diorang ni sebuah badan kawal selia sendiri yang dilantik oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012, yang memperkasa hak dan mengetengahkan kepentingan pengguna selain giat menjalankan inisiatif advokasi tentang hak dan tanggungjawab pengguna dalam industri pos dan kurier.

Tanggungjawab Asas Syarikat Kurier
Kalau korang nak tahu, Postal Forum inilah yang bertanggungjawab untuk membangunkan Kod Amalan Perkhidmatan Pos (CPPS) yang mendokumenkan piawaian minimum yang perlu dipenuhi oleh industri.
Antara tanggungjawab asas pihak kurier termasuklah :
- Standard Perkhidmatan : Menyediakan perkhidmatan yang efisien serta boleh dipercayai, seperti penghantaran dalam tempoh yang berpatutan yang sejajar dengan caj yang dikenakan, pengendalian parcel yang berhemat dan sebagainya.
- Masa Penghantaran : Kurier juga perlu mematuhi piawaian penghantaran mereka sendiri, yang selalunya diisytiharkan dalam senarai terma dan syarat atau saluran-saluran yang mudah diakses seperti laman web rasmi atau media sosial kurier.
- Penjejakan Bungkusan : Menawarkan sistem penjejakan yang tepat dan terkini supaya status bungkusan boleh dipantau pada bila-bila masa.
Selain itu, bungkusan kita adalah tanggungjawab syarikat kurier bermula dari serahan oleh penghantar kepada pihak kurier, sehinggalah sampai pada penerima. Sekiranya sesuatu berlaku, kita sebagai pengguna ada hak untuk tuntut pampasan tertakluk kepada had liabiliti sekiranya bungkusan hilang atau rosak dengan syarat ianya diinsuranskan. Sebab itu sangat penting untuk kita isytihar nilai barangan atau ambil je insurans tambahan sekiranya barang kita tu bernilai tinggi.
Jadi, selepas terima bungkusan, pastikan kita sebagai pengguna untuk ambil gambar atau lebih baik bukti video semasa proses membuka bungkusan untuk buktikan kerosakan itu bukan berpunca dari kita. Sekiranya kerosakan atau kehilangan parcel boleh dibuktikan terjadi semasa dalam pengendalian pihak kurier, lebih tinggi kebarangkalian untuk anda terima pampasan.

Macam Mana Nak Buat Aduan?
Sekiranya ada masalah mengenai bungkusan yang korang terima, korang boleh ikuti langkah-langkah ini untuk pastikan aduan diselesaikan :
- Lapor Pada Kurier Dahulu : Perkara pertama ialah hubungi syarikat kurier. Korang sediakan semua butiran penting seperti nombor penjejakan, tarikh penghantaran, tarikh penerimaan dan bukti kerosakan (gambar atau video).
- Simpan Bukti : Pastikan resit, e-mel, atau nombor aduan dengan pihak kurier disimpan.
- Jika aduan tidak dapat diselesaikan atau penyelesaian tidak setimpal dengan aduan yang dibuat, panjangkan aduan ke Postal Forum melalui portal aduan pengguna SKMM.
Dalam erti kata lain, Postal Forum inilah yang menjadi perantara antara pengguna dan juga syarikat kurier jika aduan yang tak dapat diselesaikan secara terus. Kalau jadi kat korang, report je! Ikuti langkah dalam poster ni :

Cara Kenal dan Elak ‘Parcel Scam’!
Postal Forum ni bukan sahaja melaksanakan inisiatif advokasi tentang kewajipan dan hak pengguna dalam penggunaan perkhidmatan kurier, malah, Postal Forum juga banyak berkongsi maklumat untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik pengguna tentang penipuan bungkusan, sama ada secara fizikal dalam program-program jangkauan pengguna atau melalui ruang maya dan media sosial.
View this post on Instagram
Antara scam yang famous ada di negara kita termasuklah :
- Panggilan dan Mesej Palsu
- Modus Operandi: Korang akan terima panggilan atau mesej SMS/WhatsApp daripada nombor yang tidak dikenali, yang mendakwa mereka dari syarikat kurier tertentu. Mereka mungkin mengatakan ada bungkusan yang ‘sangkut’ atau ‘dikehendaki’ di pejabat kastam atau PDRM.
- Cara Elak: Jangan sesekali layan panggilan atau klik pautan yang diberikan. Syarikat kurier yang berlesen tidak akan meminta butiran peribadi atau pembayaran melalui panggilan atau SMS secara tiba-tiba. Semak status bungkusan anda melalui laman web rasmi atau aplikasi mudah alih kurier sahaja dengan nombor penjejakan yang sah.
- Pautan ‘Phishing’ dan Laman Web Palsu
- Modus Operandi: Korang akan menerima e-mel atau mesej yang meminta anda untuk klik pautan untuk membuat pembayaran atau mengemaskini maklumat penghantaran. Laman web yang dibuka kelihatan sama seperti laman web syarikat kurier yang tulen, tetapi URLnya sedikit berbeza dengan yang asli.
- Cara Elak: Periksa dulu URL laman web yang sah. URL palsu biasanya mengandungi ejaan yang salah atau gabungan nombor dan huruf yang pelik. Jangan masukkan sebarang maklumat peribadi atau butiran kad kredit di laman yang meragukan.
- Bungkusan ‘Tidak Dipesan’ (Unsolicited Parcels)
- Modus Operandi: Korang terima bungkusan yang tidak pernah dipesan. Penipuan ini bertujuan memanipulasi pengguna untuk membayar secara Cash-On-Delivery (COD) dan biasanya akan dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa.
- Cara Elak: Jika anda menerima bungkusan yang tidak pernah dipesan, jangan terima, buka atau bayar untuknya. Laporkan kepada syarikat kurier atau tolak terus penerimaan bungkusan tersebut. Berhati-hati jika anda diminta untuk mengesahkan penerimaan atau memberikan sebarang maklumat peribadi berkaitan bungkusan tersebut.
Fahami Hak Anda, Lindungi Diri Anda
Sebagai pengguna, kita berhak mendapat perkhidmatan yang terbaik. Jangan biarkan masalah yang timbul tanpa penyelesaian. Fahami hak-hak korang dan gunakan saluran yang disediakan untuk membuat aduan.
Untuk maklumat lanjut tentang hak korang dan proses aduan, sila layari laman web rasmi Postal Forum atau ikuti laman sosial diorang di Facebook, Instagram dan TikTok diorang okay!
