Demi iPhone 14, sepasang suami isteri tergamak ‘menggadai’ bayinya sendiri yang baru berumur 8 bulan!
Pasangan yang berasal dari India ini dikatakan mahu membeli telefon pintar tersebut hanya semata-mata ingin merakam video dan gambar ketika mengembara ke seluruh rantau India untuk dimuat naik ke ‘Reels’ Instagram.
Susulan itu, tindakan mereka ini telah mendapat kecaman hebat hingga pihak berkuasa membuka kertas siasatan terhadap pasangan terbabit dalam urus niaga termasuklah wanita yang membeli bayi berkenaan.
Wanita yang dikenali sebagai ‘Sathi’ itu akhirnya ditahan polis manakala bapa bayi, Jaydev Ghosh, masih belum ditemui dan India Times melaporkan bahawa pihak berkuasa sedang berusaha menjejakinya.
Perbuatan mereka itu mula dihidu oleh jiran terdekat yang melihat reaksi pasangan tersebut yang dikatakan tidak risau atau cemas selepas anak mereka hilang.
Lebih mencurigakan lagi keluarga Ghosh tiba-tiba boleh beli iPhone 14 yang harganya kira-kira 100,000 rupee (kira-kira RM5,529) sedangkan keluarga itu mempunyai masalah kewangan.
Apa yang membuatkan jiran terdekat semakin terkejut adalah mereka dengan berani mengakui yang mereka menukar bayi kesayangan mereka untuk mendapatkan wang bagi membeli iPhone 14. Menurut jiran, Jaydev kemudian cuba menjual anak perempuannya yang berumur tujuh tahun.
“Selepas menjual bayi lelaki itu, Jaydev cuba menjual anak perempuannya pula pada tengah malam Sabtu.”
“Kami memaklumkan kepada polis sebaik sahaja mengetahuinya dan polis sudah menahan Jaydev,” kata ahli majlis tempatan Tarak Guha.
Jaydev dan isterinya serta wanita yang membeli bayi mereka kini berdepan pertuduhan berat berkaitan kes pemerdagangan manusia. Polis masih menjalankan siasatan dan belum mendedahkan butiran lanjut kes itu