Anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang memasuki hutan berhampiran Terminal Meru Raya, Ipoh, Perak malam tadi. Lelaki itu berjaya diselamatkan selepas berada dalam Hutan Simpan Meru selama enam hari.
Memetik laporan Astro Awani, lelaki itu dikatakan mengalami tekanan di tempat kerja dan bertindak untuk tinggal di hutan kerana mahu tinggal bersendirian dan tidak suka hidup bersama manusia.
Mangsa merupakan seorang anak yatim piatu yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur dan tinggal bersendirian sejak tamat SPM pada tahun 1999.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asistem Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki berusia 41 tahun itu telah membeli sebilah parang disebuah kedai untuk tujuan masuk ke dalam hutan dan tidak makan sejak masuk ke dalam hutan.
Mangsa telah menghubungi talian kecemasan kira-kira jam 1 pagi tadi untuk mendapatkan bantuan kerana mengalami masalah sesak nafas.
Rujukan awal mendapati mangsa mengalami masalah halusinasi (Schizorphernia) dan pernah dirujuk kepada doktor psikiatrik di Hospital Kuala Lumpur tahun lalu. Mangsa juga kini dalam pengawalan ubat kerana masalah tersebut.
Mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh. Menurut petugas kesihatan, mangsa kini berada dalam keadaan stabil tetapi tekanan darahnya agak rendah kerana tidak makan selama enam hari.
Baca: Pesawat Terhempas Di Hutan Amazon, 4 Kanak-kanak Ditemui Selamat Lepas 40 Hari