Korang pernah dengar tak pasal Stockholm Syndrome? Ia merupakan satu keadaan di mana seseorang mangsa yang diculik telah mencipta hubungan atau jatuh cinta dengan penculiknya. Ikatan ini boleh terjalin dari perasaan mudah seperti simpati kepada ilusi romantik.
Kalau korang nak tahu, nama ini diambil dari rompakan yang berlaku di sebuah bank bernama Kreditbanken di Norrmalmstorg di Stockholm, Sweden pada Ogos 1973 apabila sekumpulan perompak telah menahan pekerja bank sebagai orang tebusan selama enam hari. Selama penahanan tersebut, kesemua orang tebusan tersebut telah mencipta pakatan dengan penjenayah tersebut.
Ahli psikologi telah menganggap sindrom ini sebagai cara ekstrem seseorang untuk menghadapi sesuatu perkara atau mekanisme kelangsungan hidup ketika berhadapan dengan situasi yang mengerikan.
Artikel berkaitan: Elizabeth Shoaf: Kisah Remaja 14 Tahun Larikan Diri Dari Penculik Lepas 10 Hari Dikurung Dalam ‘Bunker’
Artikel berkaitan: Michaela Garetch: Diculik Masa Main Skuter Waktu Siang, Lepas 32 Tahun Baru Kes Selesai
Jadi dekat bawah ni adalah beberapa kes Stockholm syndrome yang pernah direkodkan.
1. Shawn Hornbeck
Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dari Missouri, Shawn Hornbeck sedang mengayuh basikalnya ke rumah seorang kawan pada 6 Oktober 2002 sebelum dia sengaja dilanggar oleh sebuah kereta.
Pemandu tersebut, Michael John Devlin telah melompat keluar dan mengambil Shawn masuk ke dalam keretanya sebelum berlalu pergi. Pihak polis, bomba dan sukarelawan telah cuba untuk menjejaki kanak-kanak hilang ini namun tidak berjaya.
Empat setengah tahun kemudian, seorang lagi kanak-kanak berusia 13 tahun, William Benjamin Ownby hilang sebelum ditemui di rumah Devlin.
Devlin kemudiannya ditangkap dan didakwa dengan tuduhan menculik. Selepas diselamatkan, Shawn memberitahu pihak berkuasa, sepanjang dia diculik, dia bebas untuk keluar membeli-belah, mempunyai teman wanita dan dapat melayari internet ketika di bawah pengawasan Devlin.
Tapi bila ditanya kenapa dia tak pernah cuba untuk melarikan diri, Shawn mengatakan Devlin telah membuatkan dia takut dengan ugutan keganasan sebanyak beberapa kali hingga menyebabkan dia takut untuk melarikan diri.
2. Patty Hearst
Salah satu kes penculikan paling terkenal dalam sejarah merupakan penculikan Patty Hearst yang berusia 19 tahun. Dia merupakan cucu kepada pemilik syarikat penerbitan terbesar William Randolph Hearst.
Pada 4 Februari 1974, sekumpulan pengganas yang membawa senjata telah memecah masuk ke rumah Hearst di 2603 Benvenue Street di Berkeley, California. Tunang Hearst telah dipukul dengan teruk manakala Hearst di bawa masuk ke dalam bonet kereta dan di bawa pergi.
Ketika siasatan dibuat, FBI mendapat tahu penculik Hearst merupakan dari kumpulan Symbionese Liberation Army (SLA) yang cuba untuk berperang dengan Amerika Syarikat. Kumpulan ini mengaku menculik remaja ini bagi mendapatkan kewangan dan perlindungan politik.
Kisah penculikan ini telah menghiasi dada-dada akhbar. Kemudian, pada April 1974, kes ini telah bertukar arah apabila Patty Hearst membuat pengumuman bahawa dia akan menyertai kumpulan penculiknya ini. Hearst turut membantu penculiknya membuat rompakan bank dan mula bergerak ke serata negara. Selepas berlaku tembakan di antara SLA dan pihak polis Los Angeles yang menyebabkan ketua mereka Donald DeFreeze mati, Hearst akhirnya ditangkap pada 18 September 1975 dan didakwa atas kesalahan merompak dan dijatuhkan hukuman tujuh tahun penjara.
Ketika ditahan, Hearst mengatakan bahawa dia telah dihasut oleh penculiknya untuk berbuat demikian. Hearst hanya menjalani hukuman penjara selama dua tahun sebelum dibebaskan dan ceritanya telah dijadikan filem, dokumentari, kajian dan buku.
3. Mary McElroy
Pada petang 27 Mei 1933, Mary McElroy berusia 25 tahun sedang mandi buih di rumah bapanya sebelum dia diculik oleh empat orang lelaki termasuk adik beradik George dan Walter McGee.
Empat lelaki ini telah pecah masuk ke rumah tersebut dengan senapang dan menunggu Mary untuk memakai baju sebelum membawa wanita ini ke sebuah rumah ladang lama dan merantainya di dinding bawah tanah.
Mary merupakan anak kepada Pengurus Bandar Kansas, Henry F. McElroy. Menyedari kekayaan yang dimiliki oleh bapa Mary, penculik ini telah meminta wang tebusan sebanyak $60,000 sebelum bersetuju untuk mendapatkan jumlah wang sebanyak $30,000.
Wang tersebut telah dibayar pada 29 Mei 1933 dan Mary telah dibebaskan tanpa apa-apa kecederaan di Millburn Golf Course. Tiga dari empat lelaki ini kemudiannya ditangkap tak sampai sebulan kemudian dan didakwa.
Pun begitu, Mary mengatakan selama 29 jam dia ditahan, dia telah dijaga dengan baik dan salah seorang dari lelaki tersebut telah memberikannya bunga. Tapi ketiga-tiga lelaki tersebut telah diberikan hukuman yang berat dan menyebabkan Mary rasa bersalah.
Mary secara terang-terangan telah menyatakan rasa simpatinya terhadap penculiknya sehingga meminta Gabenor Guy Brasfield Park untuk mengurangkan hukuman tersebut. Mary kemudiannya tetap berkawan dengan penculik-penculiknya ini dan sering melawat mereka di penjara dan berikan hadiah.
Kejadian ini jelasnya telah menjejaskan kesihatan mental Mary dan selepas bapanya meninggal dunia pada 1939, masalah kesihatan mental Mary menjadi semakin parah. Pada 21 Januari 1940, Mary telah membunuh dirinya sendiri dengan menembak kepalanya.
Di dalam nota yang ditinggalkan, Mary mengatakan bahawa empat penculiknya itu adalah orang di dalam dunia ini yang tak menganggap dia sebagai seorang yang bodoh.
4. Rompakan Norrmalmstorg
Macam yang disebut dekat atas, frasa Stockholm Syndrome digunakan selepas rompakan yang berlaku di sebuah bank di Sweden pada 23 Ogos 1973.
Ia bermula apabila Jan-Erik Olsson seorang lelaki berusia 32 tahun yang cuba untuk merompak Sveriges Kreditbank di Norrmalstorg. Dia telah mengambil empat orang tebusan Birgitta Lundblad, Elisabeth Oldgren, Kristin Ehnmark dan Sven Safstrom.
Ketika rompakan ini dilakukan, Olsson telah meminta supaya rakannya Clark Olofsson dibebaskan dari penjara dan dihantar ke bank tersebut dan permintaannya ini dipersetujui oleh pihak polis.
Empat orang tebusan ini telah ditahan selama enam hari namun dapat dilihat mereka semua mula berbaik dengan Olofsson. Malah, ketika satu panggilan dibuat bersama Perdana Menteri Olof Palme, Kristin Ehnmark telah menyuarakan kekecewaannya kerana permintaan perompak tersebut masih belum ditunaikan.
Selepas rompakan ini, Olsson dan Olofsson telah didakwa dan dihukum namun dakwaan ke atas Olofsson kemudiannya ditarik semula selepas terdapat dakwaan bahawa dia di sana hanya untuk menyelamatkan orang-orang tebusan.
Tak cukup dengan itu, mangsa rompakan juga turut mengumpul duit bagi menampung yuran mahkamah dan enggan memberikan kenyataan terhadap perompak mereka.
5. Mackenzie Phillips
Salah satu kes Stockholm syndrome yang mengejutkan adalah kes pelakon Mackenxie Phillips. Di dalam memoir yang ditulis pada tahun 2009, Mackenzie mendedahkan yang dia telah tak sedarkan diri ketika dia menyertai parti dadah di usia 19 tahun dan bangun sebelum mendapati bapanya telah mencabulnya.
Mackenzie kemudiannya telah meneruskan hubungan “cinta” dengan bapanya sendiri secara rela selama 10 tahun. Namun kerelaannya ini berakhir apabila bapanya, John Phillips mula bercakap untuk berpindah ke Fiji bersama anak-anaknya yang lain dan jadikan dia sebagai seorang isteri.
Namun begitu, hubungan ini telah diteruskan sehingga Mackenzie mengandung dan bapanya telah mengarahkan dia untuk menggugurkan kandungan tersebut. Selepas itu, Mackenzie mendapat kekuatan untuk hentikan perkara ini.
Sumber: The Lineup, Stars Insider