Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) boleh dihentikan, tertakluk kepada bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya berlaku banjir besar, menurut kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri baru-baru ini.
Beliau yang ditemui media pada satu program Ahad lalu berkata, persediaan menghadapi banjir besar telah dilakukan lebih awal sebelum Parlimen dibubarkan dengan penglibatan semua agensi di seluruh negara.
Menurutnya lagi, semua pihak dalam keadaan bersedia untuk menghadapi banjir besar, namun sekiranya keadaan tersebut tidak membolehkan orang ramai untuk keluar mengundi, beliau akan berbincang dengan SPR bagi mencari alternatif lain.
Pun begitu, sekiranya keadaan menjadi luar jangka, makan perbincangan akan dijalankan dengan semua agensi terlibat seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana tanpa penglibatan menteri kerana kerajaan caretaker.
“Mungkin semua Setiausaha Kerajaan Negeri dan sebagainya akan dipanggil untuk berbincang” – Perdana Menteri
Tambah Ismail Sabri lagi, pihak SPR boleh memberikan pandangan dan sekiranya pihak mereka ingin menghentikan pilihan raya tersebut, itu adalah terserah kepada SPR kerana pilihan raya adalah keputusan SPR.
MetMalaysia dalam kenyataan terdahulu memaklumkan bahawa Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh akan bermula lebih awal daripada jangkaan iaitu pada 7 November dan ianya dijangka berlarutan sehingga bulan Mac 2023.
Menurut Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdulllah, jangkaan tersebut melibatkan empat hingga enam luruan monsun hujan lebat berpotensi banjir.
Baca : Met Malaysia Keluarkan Amaran Musim Tengkujuh Dijangka Bermula Lebih Awal, 7 Nov Hingga Mac 2023