Baru-baru ini, kita menyaksikan laluan sukar skuad Harimau Malaya untuk ke Piala Asia 2023 selepas tewas 1-2 kepada Bahrain pada aksi kedua Kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lepas.
Kekalahan di tangan pasukan ke-89 dunia itu menyaksikan skuad Harimau Malaya terpaksa melepaskan status juara Kumpulan E ke tangan Bahrain yang mengutip enam mata maksimum daripada dua perlawanan.
Bagaimanapun, semalam kecoh di laman Twitter apabila Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengeluarkan kenyataan yang bikin ramai ‘garu kepala’.
“Seingat saya sejurus jaringan pertama kelihatan beberapa kelibat pemain di luar padang antaranya Guilherme De Paula akan dimasukkan ketika itu yang menyebabkan seluruh stadium bersorak.
Sorakan sedemikian menyebabkan pemain hilang fokus, sekali gus skuad kita terlepas daripada menjaringkan gol.
Jadi kalau hendak kata (kekalahan) disebabkan 100 peratus faktor pemain pun, sebenarnya kita sebagai penonton menyumbang kepada larinya fokus pemain.” katanya.
Dalam laporan Harian Metro, menteri itu berkata ‘faktor luaran’ daripada lebih 63,000 penonton di stadium ketika perlawanan itu berlangsung harus diambil kira atas kekalahan itu apabila sorakan penonton secara tiba-tiba dilihat menyebabkan pemain negara hilang fokus.
“Kalau saya yang berada di atas padang ketika itu pun, apabila orang ramai tiba-tiba menjerit (bersorak), fokus saya pun menghilang sedikit,” katanya lagi.
Pun begitu, dalam laman Twitter miliknya, dia telah mengeluarkan pemohonan maaf atas kenyataan yang diberikan mengenai kekalahan Harimau Malaya itu.
Sorakan dan sokongan para penyokong sebagai pemain ke-12 amat penting dan amat dihargai. (Bila dah kena balon, saya pun pening). Cakap2 bola saya sebelum ini telah disalah erti. Ampun dan maaf atas kesilapan saya.
— Faizal Azumu (@PejaOfPerak) June 13, 2022
Harap tak kena kecam lagi…
Baca: MSN U-Turn? Elaun Latihan Atlet Kini Dinaikkan Semula Selepas Terima Kritikan Banyak Pihak