Bintang sukan ternama dari New Zealand, Sonny Bill Williams, sekali lagi mencuri perhatian netizen selepas beliau mengenakan baju Melayu lengkap semasa menyambut Aidilfitri di Johor, Malaysia.
Dalam hantaran Instagram terbarunya, Williams menulis:
“Eid Mubarak to all around the world 🌙🤲🏽
May the most high bless, protect and accept all our good actions, especially our duas for the oppressed people of Gaza and all those struggling around the world.
Love the Williams ❤️”
Malah, beliau juga sempat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama jemaah tempatan di Johor dan berkongsi suasana yang penuh keberkatan itu menerusi laman sosial miliknya.
Penampilan beliau dalam pakaian tradisional Melayu lengkap dengan samping dan songkok mencetuskan rasa bangga dan teruja dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya netizen beragama Islam.
Malah, rata-rata memuji kesungguhan Williams menyambut Hari Raya dengan penuh kesederhanaan.
Artikel berkaitan: Legenda Ragbi All Blacks, Sonny Bill Williams Kini Pro-Canselor AIU!
Artikel berkaitan: “Lain Macam Aura” – Bekas Pemain Ragbi Sonny Bill Sertai Alif Satar Bersama Geng Subuh Macam Jumaat

Bagi sesetengah netizen, momen ini bukan sekadar tentang fesyen tetapi satu simbol penyatuan ummah dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dalam dunia Islam.
Tidak kurang juga yang menyifatkan penampilan Williams sebagai bukti bahawa identiti Muslim tidak semestinya bergantung kepada pakaian Arab, sebaliknya boleh dizahirkan mengikut budaya masing-masing selagi berlandaskan nilai Islam.
Untuk rekod, Sonny Bill Williams memeluk Islam pada tahun 2009 dan menjadi pemain Muslim pertama yang menyarung jersi All Blacks, pasukan ragbi kebangsaan New Zealand.
Sejak itu, beliau sering menggunakan platformnya untuk menyebarkan mesej keamanan, kasih sayang, serta solidariti terhadap umat Islam yang ditindas, khususnya di Gaza.
Kini, hubungan Williams dengan Malaysia semakin erat apabila beliau dilantik sebagai Pro Canselor Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) yang terletak di Alor Setar, Kedah.
Malah, Williams juga pernah menyertai program Subuh seperti Jumaat (Subuh berjemaah besar-besaran) di beberapa lokasi semasa berada di Malaysia.