Seperti kebiasaan, kalau lalu di plaza tol, korang kena berhenti di palang dan tap kad pada mesin pengimbas untuk pembayaran melalui booth tol tersebut.
Namun semuanya bakal berubah tak lama lagi apabila Kementerian Kerja Raya (KKR) menyasarkan untuk memperkenalkan sistem kutipan tol tanpa henti yang dikenali sebagai Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) menjelang 2025 dalam usaha untuk kurangkan kesesakan.
Menurut Harian Metro, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, cadangan itu juga telah mendapat persetujuan Jemaah Menteri.
Kenderaan tak perlu berhenti untuk bayar tol
Tambah menteri lagi, dengan perlaksanaan MLFF itu, kenderaan tak perlu lagi berhenti untuk bayar tol dan tak ada palang di setiap tol.
Seterusnya adalah rundingan bersama semua syarikat konsesi tol mengenai bagaimana ia akan dilaksanakan supaya dapat memberi kemudahan kepada pengguna lebuh raya.
“Selepas itu, bagaimana kita integrasikan daripada sistem MLFF… kita akan mewujudkan command centre (pusat arahan) diuruskan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang perlu integrasi dengan semua majlis perbandaran atau bandar raya,” jelasnya.
Selain daripada itu, Fadillah juga memaklumkan yang KKR akan mulakan proses membangunkan penimbang berat kenderaan bagi mengesan lori lebih muatan yang boleh jadi punca kesesakan dan kerosakan jalan raya.
Penimbang berat ini juga akan mengesan had muatan secara automatik dan tindakan undang-undang akan terus dikenakan kepada syarikat lori tersebut.
Fadillah juga berkata, kementeriannya akan memfokuskan isu keselamatan jalan raya seperti yang dibincangkan pada Persidangan Dunia ITS ke-2 yang diadakan di Los Angeles, Amerika Syarikat lepas.
Baca: ‘Lari’ Dari Bayar Tol 45 Kali, Pemandu Mercedes Benz A Class Didenda RM275.65