Kali pertama kes serangan melibatkan pepijat katil atau kutu telah dilaporkan di Paris, Perancis dan ianya telah merebak ke beberapa bandar lain di dunia. Minggu lalu, dikatakan terdapat peningkatan kes yang sama telah dilaporkan di Singapura.
Menurut syarikat kawalan serangga perosak Aardwolf Pestkare berkata, terdapat peningkatan sekitar 40% dalam kes berkaitan pepijat dalam tempoh dua bulan lepas, seperti yang dilaporkan oleh CNA.
Pengurus jualan firma itu, Pierce Chan menyatakan bahawa terdapat peningkatan global bagi kes melibatkan kutu dan pepijat ini.
Pun begitu, beliau menasihati para pelancong tidak kira ke mana-mana destinasi selain Paris dan Korea perlu berhati-hati agar tidak terkena serangan serangga berkenaan.
Tambahnya lagi, kebersihan diri merupakan faktor yang paling penting. Orang ramai hanya perlu berhati-hati dan memeriksa tempat yang mereka lawati terutamanya di bilik hotel serta barangan yang ingin dibawa pulang dari luar negara.
Menurut sebuah lagi syarikat kawalan serangga perosak Pestbuster, mereka juga mendapati kenaikan antara 10 hingga 15 peratus kes dan pertanyaan melibatkan kutu dan pepijat katil.
Ahli entomologi di firma berkenaan, Mr Joachim Lee memberitahu bahawa peningkatan tersebut adalah secara berterusan dan dia percaya jumlah panggilan atau kes akan meningkat berikutan musim cuti sekolah yang akan tiba tidak lama lagi.
Peningkatan kes sebanyak 20 hingga 30 peratus juga dijangka akan berlaku pada suku pertama tahun 2024 apabila ramai warga negara berkenaan pulang daripada percutian di luar negara semasa musim cuti persekolahan pada bulan Disember ini.
Artikel berkaitan : “Macam Covid tapi ada kaki” – Wabak ‘Bedbugs’ Serang Kota Paris, Ini Apa Yang Berlaku…
Artikel berkaitan : Kecewa Badan Gatal & Penuh Bintik Digigit Pepijat Tapi Hotel Syak Tetamu Bawa Dari Pakaian?
Menurut Chan lagi, pepijat katil adalah serangga ‘penumpang’ dan salah satu cara untuk elakkan ia daripada melekat pada pakaian dan sebagainya adalah dengan merendamkan pakaian dalam air panas bersuhu lebih daripada 60 darjah Celcius.
Di Asia, wabak kutu ini juga dilaporkan turut menyerang Korea Selatan dan dana berjumlah 500 juta won telah disediakan oleh pihak kerajaan untuk mengatasi wabak ini di tujuh daerah di Seoul.
Sumber : CNA