Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sebuah sindiket yang dipercayai memohon derma online secara haram dan menahan 55 orang individu susulan serbuan yang dilakukan di sebuah premis di Kepong.
Menurut laporan, sindiket berkenaan terdiri daripada 34 orang lelaki dan 21 orang wanita yang kesemuanya warganegara berusia antara 18 hingga 42 tahun.
Selain itu, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak lima tahun dahulu dan beroperasi menggunakan tiga pertubuhan kebajikan bagi mengaburi aktiviti serta menggunakan nama tiga persatuan semasa menghubungi prospek penderma dengan menggunakan iklan meminta derma di Facebook.

Pihak polis juga mengatakan duit yang dikutip dari mangsa sama ada individu atau syarikat kemudian akan dimasukkan ke tujuh akaun bank yang dipunyai oleh persatuan terbabit. Jumlah kutipan yang didapati melalui cara yang tidak sah itu sedang disiasat oleh mereka.
Menerusi laporan tersebut, pihak polis difahamkan sedang menjalankan siasatan terhadap tiga persatuan yang terlibat sama ada mereka mengetahui aktiviti yang dijalankan oleh sindiket atau persatuan-persatuan itu turut terlibat dengan sindiket tersebut.
Artikel berkaitan :“Income dia lagi masyuk” – Ramai ‘Cemburu’ Tengok Lelaki Ini Kira Duit Didakwa Hasil Mengemis
Artikel berkaitan :Sindiket Duit Palsu Makin Berleluasa, Iklankan Di FB ‘Bayar RM300 Dapat RM1,000’
Dalam serbuan yang dijalankan, polis berjaya merampas 58 unit komputer, 126 unit telefon pintar, 108 buku resit, 2 router dan 2 unit alat merakam skrip yang dipercayai digunakan untuk merakam perbualan antara pemanggil dan mangsa.
Siasatan awal mendedahkan ahli sindiket berkenaan menerima komisyen antara 10 hingga 20 peratus daripada jumlah kutipan sekiranya sasaran mereka tercapai dan menurut polis, semuanya akan direman bagi membantu siasatan.
Sumber : The Vibes
