Tirai Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di Kuala Lumpur telah dilabuhkan. Dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, Malaysia sebagai pengerusi tahun ini berdepan dengan cabaran geopolitik dan ekonomi yang kompleks.
Penganjuran ini yang menyaksikan kehadiran lebih 30 pemimpin dunia, termasuk kehadiran bersejarah Presiden AS, Donald Trump, bukan sahaja berjaya dari segi logistik, malah menghasilkan 84 dokumen hasil, membuktikan Malaysia komited mengubah perbincangan kepada tindakan.

Berikut adalah ‘Report Card’ lengkap Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, termasuk perjanjian-perjanjian kritikal yang dimuktamadkan mengikut hari persidangan bermula dengan hari pertama Sidang Kemuncak dicatatkan dalam sejarah ASEAN sebagai hari pemuktamadan isu-isu sensitif dan perluasan anggota.
Hari Pertama
1. Pemeteraian Perjanjian Damai KL melibatkan Thailand & Kemboja
Malaysia berjaya memudah cara perjanjian damai/gencatan senjata antara dua negara jiran yang bersengketa dan meredakan ketegangan sempadan serta-merta dan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai peace broker.
2. Penerimaan Timor-Leste sebagai negara Anggota ASEAN
Persidangan kali ini bersepakat menerima kemasukan Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN ke-11. Secara tidak langsung ia merupakan perluasan pertama ASEAN dalam 26 tahun, melengkapkan visi komuniti serantau.

3. Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) AS-Malaysia
Memeterai perjanjian perdagangan dua hala antara Malaysia dan AS dengan mereka memberi kadar tarif sifar peratus ke atas 1,711 produk Malaysia dan mengekalkan kadar tarif 19% ke atas produk utama lain, menawarkan jaminan akses pasaran yang penting kepada pengeksport Malaysia.
Hari Kedua
Hari kedua didominasi oleh perbincangan dan persetujuan rangka kerja ekonomi yang kritikal untuk daya saing serantau:
1. Pengesahan Keberhasilan Utama Ekonomi (PED)
Meluluskan 17 daripada 18 PED di bawah Pengerusian Malaysia. Ini akan menetapkan standard baharu dalam Garis Panduan Pelaburan Mampan ASEAN (ASIG) dan membangunkan Rangka Kerja Rantaian Bekalan Semikonduktor Bersepadu ASEAN (AFISS).
2. Kerjasama Ekonomi Bersih ASEAN-Australia
Komitmen dana pelaburan baharu dari Australia untuk memacu agenda Ekonomi Hijau di rantau ini. Kerjasama ini akan membantu ASEAN mempercepatkan peralihan tenaga bersih dan projek infrastruktur hijau.
3. Laluan ke Hadapan RCEP
Mencapai kesepakatan untuk menyuntik momentum baharu dalam pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP). Perjanjian ini akan memastikan perjanjian perdagangan bebas terbesar dunia itu beroperasi dengan lancar.
Hari Ketiga
Hari terakhir menyaksikan pemuktamadan perjanjian perdagangan yang membawa impak jangka panjang.
1. Naik Taraf Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA 3.0)
Pemeteraian protokol naik taraf perjanjian ini akan memperluas kerjasama ACFTA ke bidang kritikal masa depan seperti Ekonomi Digital, Ekonomi Hijau, dan e-dagang, mengukuhkan lagi China sebagai rakan dagang terbesar.

2. Protokol Kedua Pindaan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA)
Dokumen perundangan dimeterai bagi memodenkan ATIGA yang bakal melancarkan aliran perdagangan barangan intra-ASEAN, menjadikannya lebih selaras dan efisien.
3. Pengukuhan Tenaga Bersih
Pengesahan Pelan Tindakan ASEAN untuk Kerjasama Tenaga 2026-2030 dan sokongan untuk Grid Tenaga ASEAN. Pelan tindakan yang dipersetujui negara anggota ASEAN ini akan memperkukuh kerjasama serantau dalam tenaga boleh diperbaharui.
Secara keseluruhannya, Malaysia mencatatkan kejayaan diplomatik yang gemilang sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47. Negara bukan sahaja berjaya menguruskan logistik penganjuran yang besar, malah cemerlang dalam memacu agenda serantau yang kritikal di tengah-tengah cabaran global yang tidak menentu.
Artikel berkaitan : Perjanjian Malaysia-US Berat Sebelah? Tengku Zafrul Tampil Beri Penjelasan, Akan Bentang Di Parlimen Hari Ini
Artikel berkaitan : Kesihatan Serantau Jadi Keutamaan, ASEAN Mahu Tubuh Rizab Perubatan
Kejayaan Malaysia dalam mengemudi perbincangan dan menghasilkan keputusan tuntas mendapat pujian tinggi dari pemimpin dunia, mengukuhkan kedudukan diplomasi negara:
“Malaysia telah membuktikan peranan terbaik sebagai Pengerusi pada tahun yang mencabar ini. Kami memuji keupayaan Kuala Lumpur untuk menyatukan rantau dan memajukan agenda ekonomi bersama.” – Presiden Filipina
Sebagai kesimpulan, sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur baru-baru ini tidak hanya sekadar mesyuarat rutin, tetapi telah berjaya mencatat sejarah baharu dan membuktikan bahawa “kehalusan seni diplomatik” Malaysia dan dengan rasmi menyerahkan kepengerusian ASEAN kepada Filipina bagi tahun 2026.
 
					 Aryl Je
							Aryl Je
					