Peguam kepada bintang Selangor FC dan skuad kebangsaan Faisal Halim iaitu Nik Zarith Nik Moustpha menyatakan bahawa kes serangan asid yang terjadi kepada pemain bola sepak negara itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Tambah beliau, ia dimaklumkan kepada pihaknya menerusi satu surat bertarikh 18 Februari 2025 daripada pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).
Artikel berkaitan : Faisal Halim Alami Kecederaan Patah Tulang Hidung, Kongsi Imej X-Ray
Artikel berkaitan : “Berkait ke?” – Ini Kronologi Kes Tiga Pemain Bola Sepak Diserang
“Surat tersebut telah menyatakan bahawa PDRM tidak dapat mengesan sebarang petunjuk yang dapat mengaitkan individu ini sebagai suspek dan segala usaha tidak membuahkan hasil.”
“Ternyata bahawa anak guam kami berasa kecewa dengan hasil keputusan siasatan tersebut.”
“Sepanjang tempoh siasatan kes ini, pihak kami mengambil beberapa langkah proaktif bagi memastikan kes ini diberikan perhatian yang sewajarnya.”
Jelasnya lagi, langkah tersebut termasuklah kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu mereka membuat siasatan menyeluruh berkenaan dengan kes ini.
Pada 5 Mei tahun lalu, kita digemparkan dengan berita serangan Faisal Halim disimbah asid. Faisal yang pada ketika itu bersama isteri, anak dan rakan baru keluar dari sebuah pusat beli belah di Petaling Jaya.
Kejadian tersebut dikatakan berlaku beberapa hari selepas pemain pasukan Terengganu FC, Akhyar Rashid disamun berhampiran dengan sebuah kondominium di Kuala Terengganu.
Sumber : Astro Awani, Harian Metro