Dunia bersedih semalam apabila wartawan Palestin terkenal, Saleh Aljafarawi, 28, dilaporkan terbunuh selepas ditembak oleh individu bersenjata di Bandaraya Gaza. Ia menjadikan jumlah kematian pengamal media di wilayah itu melebihi 270 orang sejak Oktober 2023.
Dalam satu rakaman yang disiarkan oleh wartawan dan aktivis yang tular di media sosial, dipaparkan tubuh Aljafarawi yang memakai jaket keselamatan bertanda ‘PRESS’ di belakang sebuah trak.
Video itu juga telah disahkan oleh agensi pengesahan Sanad milik Al Jazeera.
Insiden pembunuhan itu dikatakan berlaku ketika pertempuran tercetus antara pasukan keselamatan Palestin dan kumpulan bersenjata di kejiranan al-Sabra iaitu kawasan yang musnah teruk akibat peperangan.
Artikel berkaitan: “Lebih 150 negara dah akui” – Ini Sebab Kenapa Pengiktirafan Antarabangsa Penting Untuk Palestin Menjadi Sebuah Negara
Artikel berkaitan: Gelombang Kedua Misi Kemanusiaan, 11 Lagi Kapal Sedang Belayar Ke Gaza?
Siapa Saleh Aljafarawi?
Bagi yang tidak mengenali wartawan ini, Saleh Aljafarawi sebelum ini dikenali dengan dokumentasi video lapangannya yang merakam kesan peperangan di Gaza.
Dia juga merakam video yang memaparkan realiti kehidupan rakyat Gaza ketika perang meletus di wilayah tersebut.
Sejujurnya, setiap saat saya hidup dalam ketakutan, tidak tahu apa yang berlaku pada saat yang seterusnya,” katanya sebelum ini mengenai rasa cemas dan perpindahan yang dilaluinya pada Januari lalu menerusi satu temu bual dengan Al Jazeera.
View this post on Instagram
Menurut laporan, Aljafarawi yang dipindahkan ke Gaza utara sebelum ini pernah menyatakan yang dia menerima pelbagai ancaman daripada pihak Israel berikutan laporan yang disiarkannya.
Badan pemantau media antarabangsa berkata, konflik yang terjadi di antara Israel-Gaza ini menjadi krisis paling berdarah bagi wartawan dengan lebih 270 pengamal media terbunuh, yang mana ia merupakan satu rekod kelam dalam sejarah kewartawanan moden.
Sumber: The Daily Guardian, Sinar Harian